Norzamira Che Noh


Klang: Kehadiran ramai warga asing di Pejabat Pos Jalan Stesen, dekat sini, yang tular di media sosial, hari ini bertujuan mengambil pasport mereka yang sudah siap.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kejadian berlaku sekitar 8.30 pagi apabila insiden pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) itu dilaporkan pengurus pejabat pos terbabit.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal terdapat 130 warga Bangladesh hadir ke pejabat berkenaan bagi mengambil pasport mereka.

"Ia berikutan, pihak kedutaan Bangladesh melantik Pos Malaysia Cawangan Klang sebagai ejen untuk membolehkan warganegara mereka mengambil pasport diperbaharui.

"Sepasukan pematuhan SOP Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan kemudian ke lokasi dan meredakan keadaan tidak terkawal itu.

"Kita akan menempatkan pasukan itu di Pos Malaysia cawangan itu bagi mengelakkan kejadian sama berulang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

TANGKAP layar daripada video tular menunjukkan warga asing melanggar SOP tidak mengamalkan penjarakan fizikal ketika beratur untuk memasuki pejabat pos, hari ini.
TANGKAP layar daripada video tular menunjukkan warga asing melanggar SOP tidak mengamalkan penjarakan fizikal ketika beratur untuk memasuki pejabat pos, hari ini.

Terdahulu, satu video berdurasi 14 saat dirakam orang awam tular di media sosial memaparkan warga asing itu sedang beratur secara rapat bagi memasuki pejabat pos berkenaan.

Turut kelihatan seorang wanita dan lelaki iaitu kakitangan pejabat pos berkenaan yang mengarahkan mereka beratur dengan jarak satu meter.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 8:39 PM