Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika sidang media pada Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika sidang media pada Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan akan memastikan koordinasi lebih baik antara kementerian berkaitan penyampaian maklumat prosedur operasi standard (SOP) dan informasi menuju fasa endemik Covid-19, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien.

Justeru itu, beliau berkata, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan diberi tanggungjawab sebagai koordinator dalam menggunakan semua platform komunikasi sedia ada bagi memastikan SOP dapat difahami dengan jelas dan mudah oleh rakyat.

"Semua kementerian ada platform komunikasi masing-masing, kini kita minta KKMM untuk menyelaraskannya supaya maklumat yang akan dikeluarkan itu adalah senada, konsisten dan mudah untuk orang ramai fahami," katanya pada sidang media khas Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 di Parlimen, di sini, hari ini.

Turut serta dalam sidang media itu ialah Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Terdahulu Hishammuddin berkata, kerajaan sedang berusaha memperkemas SOP berkaitan Covid-19 sedia ada supaya lebih difahami rakyat, golongan industri dan pihak yang menjalankan penguatkuasaan.

Malaysia dijangka memasuki fasa endemik Covid-19 menjelang penghujung Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 8:09 PM