DEWAN kuliah.
DEWAN kuliah.
Ruwaida Md Zain
am@metro.com.my


Shah Alam: Kemasukan penuntut ke semua kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) akan dilaksanakan secara berperingkat bagi sesi 2021/2022 di seluruh negara.

Jabatan Komunikasi UiTM dalam kenyataan tadi berkata, perincian pelaksanaan kemasukan penuntut secara fizikal ke kampus secara berperingkat adalah seperti mana diumumkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) hari ini.

"UiTM menyambut baik pengumuman Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berhubung kemasukan penuntut ke kampus institusi pendidikan tinggi secara berperingkat bermula 15 Oktober ini.

"Pada masa sama, UiTM sentiasa mengambil kira situasi semasa dan merujuk kepada pemakluman terkini daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Proses kemasukan penuntut ini akan dijalankan secara berperingkat bermula 15 Oktober nanti," menurut kenyataan itu hari ini.

Jabatan Komunikasi UiTM berkata, kemasukan penuntut yang lengkap divaksin ke IPT ini membabitkan semua kategori dan semua Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) di mana keutamaan diberikan kepada penuntut berkeperluan.

"Manakala kemasukan penuntut ke seluruh sistem UiTM pula adalah tertakluk kepada Pekeliling Universiti yang akan dikeluarkan dalam masa terdekat merujuk kepada kalendar akademik universiti.

"UiTM mengambil maklum mengenai perkembangan terkini Covid-19 memandangkan masih terdapat kluster baharu dan kes positif.

"Pihak UiTM sangat mengambil berat aspek kesihatan, keselamatan warga UiTM dan masyarakat secara umumnya, seterusnya memantau serta menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 8:02 PM