GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang membabitkan lima lokaliti di Sabah dan masing-masing satu di Pahang serta Kelantan bermula Khamis ini hingga 29 September depan.

Ketua Pengarah MKN Datuk Rodzi Md Saad berkata, antara kawasan terbabit adalah Kampung Keringawan (Darat dan Tengah) dan Kampung Pinatau di Kota Marudu.

"Tiga lagi lokaliti di Sabah termasuk Kampung Nuntunan, Apin-Apin, Keningau; Kampung Lungkidau, Ranau dan Perumahan Pekerja Ladang Boustead Ruku-Ruku, Telupid.

"Pelaksanaan PKPD di Pahang akan membabitkan Kampung Tementong, Mukim Cheka 1, Daerah Lipis manakala di Kelantan pula Kampung Bahagia, Mukim Batu Mengkebang, Kuala Krai," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, prosedur operasi standard bagi kesemua PKPD berkenaan adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini.

Selain itu, Rodzi berkata, PKPD di Kampung Badong Dalam dan Kampung Permatang Durian, Mukim Bebar, Pekan, Pahang yang dijadualkan tamat esok dilanjutkan 14 hari lagi sehingga 29 September depan.

Bagaimanapun, katanya, MKN mengisytiharkan penamatan PKPD enam lokaliti di Sabah mulai esok iaitu Taman Ria Height, Tawau; Kampung Narawang dan Kampung Mininsalu Baru (Pasir Putih), Ranau.

"Selain itu Kampung Labuan, Kampung Ambong Tolus dan Kampung Rampayan Laut di Kota Belud," katanya.

Beliau berkata, keputusan menamatkan PKPD itu dibuat selepas meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai situasi semasa Covid-19 di lokaliti berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 7:32 PM