GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: Sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) bagi murid prasekolah dibimbangi memberi kesan kepada perkembangan kanak-kanak, terutama tahap motivasi untuk belajar.

Pengurus dan guru Tadika Ratu Hati di Taman Cheras Hartamas, Cheras, Selangor, Fatma Ayunni Mohd Zaki berkata, meskipun tiada alternatif lain lebih baik, sesi PdPR untuk murid prasekolah dilihat kurang berkesan dan efektif.

Katanya, sesi PdPR murid prasekolah dalam tempoh yang lama juga membimbangkan kerana ia boleh memberi kesan kepada perkembangan kanak-kanak.

"Murid akan cepat hilang fokus walaupun kelas dalam talian dijalankan hanya 30 minit, mereka memerlukan pemantauan ibu bapa, penjaga atau ahli keluarga lain ketika kelas ini berlangsung.

"Saya berharap sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka dapat dilaksanakan kerana ia lebih efektif untuk kanak-kanak, namun ia bergantung dengan situasi semasa pandemik Covid-19," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, ibu kepada murid Tadika Ratu Hati, di sini, Iera Fairuz, 32, berkata, tempoh PdPR yang lama bukan saja membebankan ibu bapa tetapi turut menyebabkan anak di rumah tertekan.

"Kanak-kanak berusia lima dan enam tahun bukanlah faham sangat dengan apa itu PdPR jadi ibu bapa yang terpaksa berkorban masa duduk sekali bersama anak ketika kelas dalam talian mereka.

"Malah, kelas dalam talian ini juga menyebabkan keyakinan diri anak semakin kurang kerana malu untuk buka kamera dan menjawab soalan guru," katanya.

Bagaimanapun, katanya, pembukaan semula tadika untuk beroperasi seperti biasa pula bukanlah langkah yang terbaik buat masa ini.

"Kes Covid-19 masih lagi membimbangkan tetapi jika diberi peluang tadika untuk dibuka semula, saya menyambutnya dengan baik kerana memikirkan kesihatan mental anak saya.

"Pun begitu, kes Covid-19 perlulah pada kadar yang selamat agar kesihatan fizikalnya turut terjaga," katanya yang menetap di Cheras, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 6:50 PM