Rafidah Astopa, 51, kakak Allahyarham Hairizam, 40, menunjukkan kalender milik Allahyarham kepada Pengerak Southern Volunteers Simpang Renggam, Zamrie Baharuddin (kanan) di Kampung Tengah Renggam, Kluang Johor. FOTO MOHAMAD FAHD RAHMAT
Rafidah Astopa, 51, kakak Allahyarham Hairizam, 40, menunjukkan kalender milik Allahyarham kepada Pengerak Southern Volunteers Simpang Renggam, Zamrie Baharuddin (kanan) di Kampung Tengah Renggam, Kluang Johor. FOTO MOHAMAD FAHD RAHMAT
Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: "Sejak dua minggu sebelum kematiannya, kelakuan adik berubah, dia menjadi lebih pemurah berbelanja pelbagai barangan makanan hingga saya rasa tak sedap hati," katanya Rafidah Astopa, 51, kakak allahyarham, Hairizam, 40, yang maut selepas tersepit mesin pemprosesan ayam di sebuah kilang di Machap, Sabtu lalu.

Menurut Rafidah, kelakuan adiknya itu turut ditegur bapa mereka, Astopa Md Nasis, 85, yang berkata allahyarham seolah-olah membeli bekalan stok ayam mentah seolah-olah seperti mahu membuat kenduri tiga hari sebelum kemalangan berkenaan.

"Dua minggu sebelum adik meninggal dunia, dia berubah sikap suka membelanja kami makanan malah dia juga tidak sabar menantikan tarikh kelahirannya pada 24 Oktober ini hingga membulatkannya di kalendar.

"Adik juga membelikan abah makanan setiap kali pulang dari kerja walaupun tak diminta dan mungkin itulah petanda dia mahu pergi meninggalkan kami," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tengah Renggam di sini hari ini.

Katanya, menyifatkan amat terasa dengan kehilangan adik keenam daripada lapan beradik itu yang disifatkan seorang yang lurus tetapi mudah disenangi orang lain kerana suka tersenyum.

"Rakan-rakannya pun memanggilnya senyum sebab arwah memang suka tersenyum dan tidak banyak bercakap malah dia juga menanggung nafkah abah yang sudah uzur dengan memberinya wang belanja setiap bulan," katanya.

Katanya, allahyarham yang belum berumahtangga selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tengah Renggam di sini kira-kira 9 malam pada hari kejadian.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang Deputi Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani ketika dihubungi berkata, allahyarham mengalami kecederaan parah di dada kanan dan leher hingga maut serta merta di lokasi kejadian.

Beliau berkata, allahyarham sebelum itu sedang membersihkan mesin berkenaan sebelum tergelincir ke dalamnya dan cuba diselamatkan rakan sekerja namun tidak berjaya.

"Pada 10.40 pagi Sabtu lalu anggota polis dari Balai Polis Simpang Renggam telah dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan dan kematian disahkan oleh penolong pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hadir ke tempat kejadian.

"Punca kejadian disebabkan mangsa tergelincir ke dalam mesin semasa sedang mencuci mesin tersebut dan disedari oleh rakan sekerja yang lain selepas mendengar jeritan mangsa.

"Rakan-rakannya cuba menyelamatkan mangsa namun tidak berjaya dan mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kluang untuk bedah siasat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 6:26 PM