SITI Hajjar bersama Irfan yang menghidap CP dan hanya terbaring atas katil di rumah mereka di Kampung Kelang Sagu Baru, Kulim. FOTO ihsan pembaca
SITI Hajjar bersama Irfan yang menghidap CP dan hanya terbaring atas katil di rumah mereka di Kampung Kelang Sagu Baru, Kulim. FOTO ihsan pembaca
Izad Thaqif Hassan


Kulim: Betapa besarnya pengorbanan seorang ibu menguruskan anak menghidap Cerebral Palsy (CP) atau kelumpuhan otak hingga dia sendiri disahkan mengalami 'slipped disc' (cakera tergelincir) kesan daripada kerap mengangkat anaknya itu untuk mandi sejak 17 tahun lalu.

Biarpun dia sendiri menderita sakit, ibu tabah terbabit Siti Hajjar Majid, 45, tetap memberi perhatian dan tidak membiarkan anaknya, Muhamad Irfan Fahmie Mohd Yusri, 17, atau dipanggil Irfan, terabai.

Wanita yang turut mempunyai dua anak perempuan berusia 18 dan enam tahun itu disahkan mengalami 'slipped disc' pada April lalu dan doktor memberitahu ia berlaku disebabkan dia terlalu kerap mengangkat benda berat sejak bertahun lamanya.

Sejak mengetahui penyakit dialami, dia hanya memandikan Irfan di katil dan suaminya, Mohd Yusri Osman, 45, akan membantu membersih dan mengangkat anak lelaki mereka.

Menurutnya, sejak dahulu dia akan mengurus Irfan untuk dimandikan di bilik air dengan mendukung anaknya itu kerana suami keluar bekerja di Pulau Pinang.

"Namun, selepas melakukan CT Scan (ujian imbasan tomografi berkomputer), doktor memberitahu saraf saya tersepit hingga membuatkan kaki lemah berpunca daripada kerja berat dilakukan sebelum ini.

"Saya rasa punca sakit dialami disebabkan mengangkat Irfan untuk mandi sejak dia kecil ditambah pula saya menjalani pembedahan ketika melahirkan anak bongsu," katanya yang menetap di Kampung Kelang Sagu Baru, di sini.

Bagaimanapun, Siti Hajjar tidak menyalahkan anaknya dan menganggap ia sebagai dugaan buat dia dan keluarga, malah dia tidak akan sesekali mengabaikan Irfan yang turut disahkan mengalami jangkitan paru-paru sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, Irfan hanya mampu terbaring di katil sejak 17 tahun lalu dan kini hanya telinganya saja berfungsi dan keadaan itu menyebabkan dia sukar tidur pada waktu malam.

"Ini kerana telinganya sangat sensitif sekiranya mendengar bunyi ketika sunyi dan hanya dapat melelapkan mata selepas Subuh.

"Irfan lebih manja dengan suami dan dia pernah tidak tidur kerana menunggu bapanya yang ketika itu bekerja sebagai pemandu lori pulang dari tempat kerja.

"Bagaimanapun, suami kini bertukar kerja menjadi anggota Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia) dan bertugas di kawasan berhampiran rumah, sekali gus dapat meluangkan masa dengan Irfan dan membantu saya menguruskan anak kami," katanya.

Menurutnya, bagi kos membeli susu, rawatan susulan dan lampin pakai buang, mereka memperuntukkan RM1,200 setiap bulan menggunakan wang elaun suami sebagai anggota Rela dan sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, keperluan Irfan diutamakan dan selebihnya baru mereka guna untuk belanja dan membeli barang keperluan lain.

"Biarpun hidup kami susah, namun saya tetap akan mengutamakan keperluan Irfan terlebih dahulu kerana anak saya itu adalah anugerah diberikan Allah kepada kami.

"Selain menjaga Ifran, saya turut menjaga ibu berusia 64 tahun yang menghidap kencing manis serta darah tinggi dan adik lelaki berusia 40-an yang baru selesai menjalani pembedahan paru-paru," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Mohd Yusri Osman di talian 017-5271337.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 6:21 PM