Tinjauan di sebuah premis mendapati harga telur naik di antara 30 hingga 50 sen bagi setiap gred untuk  telur 30 biji sejak tiga minggu lalu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Tinjauan di sebuah premis mendapati harga telur naik di antara 30 hingga 50 sen bagi setiap gred untuk telur 30 biji sejak tiga minggu lalu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Harga 30 telur ayam gred B di pasaran Semenanjung mencatatkan kenaikan 59 sen dalam tempoh dua minggu, bermula 29 Ogos hingga Ahad lalu.

Berdasarkan data Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang diberikan kepada Harian Metro hari ini, kenaikan secara berperingkat-peringkat sehingga mencapai 53 sen pada 5 September lalu berbanding harga pada 29 Ogos bagi telur gred B untuk 30 biji.

Telur ayam gred B 30 biji dijual pada harga RM12.07 pada 29 Ogos tetapi naik kepada RM12.60 pada 5 September iaitu seminggu selepas itu.

Enam hari kemudian, harga telur naik lagi 3 sen menjadikannya RM12.63 sen untuk 30 biji.

Kelmarin, berlaku lagi kenaikan harga telur gred B di Semenanjung menjadikannya dijual pada harga RM12.66 sen.

Dalam pada itu, data KPDNHEP berkenaan turut menunjukkan harga ayam bersih standard dan daging lembu tempatan mencatatkan kenaikan dalam tempoh sama, manakala daging kerbau import serta ikan kembung menunjukkan penurunan.

Ayam bersih standard naik daripada RM7.91 sekilogram pada 29 Ogos kepada RM8.87 setakat Ahad lalu manakala daging lembu tempatan naik 24 sen daripada RM36.21 kepada RM36.45.

Daging kerbau import pula mencatatkan penurunan daripada RM19.72 sekilogram pada 29 Ogos kepada RM19.68 manakala ikan kembung daripada RM15.81 kepada RM15.55 dalam tempoh sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 6:17 PM