Dataran Lang di pekan Kuah dijangka meriah dengan kehadiran pelancong dua minggu lagi. FOTO HAMZAH OSMAN
Dataran Lang di pekan Kuah dijangka meriah dengan kehadiran pelancong dua minggu lagi. FOTO HAMZAH OSMAN
Oleh Hamzah Osman


Langkawi: Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) mensasarkan kedatangan 30,000 pelancong ke Langkawi menjelang akhir bulan ini, selepas pulau itu dibuka sebagai destinasi perintis gelembung pelancongan bermula lusa.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, angka itu akan lebih cepat dicapai apabila jadual penerbangan masuk ke pulau itu mencecah 12 perjalanan dan bagi feri, 10 perjalanan sehari.

"Untuk hari pertama (16 September) ini, ada lima penerbangan masuk ke Langkawi membabitkan dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, selain tiga perjalanan feri penumpang dari Kuala Perlis.

"Justeru, kita menjangkakan kemasukan pelancong ke pulau ini di sekitar 1,500 hingga 2,000 sehari dalam tempoh dua minggu ini," katanya pada sidang media di pejabatnya di Kompleks Lada di sini, hari ini.

Nasaruddin berkata, perkhidmatan feri penumpang dari Kuala Kedah dijangka bermula pada 20 September ini iaitu sehari selepas Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan itu tamat.

"Persediaan menyambut pelancong telah dibuat oleh pelbagai pihak, malah Lada sudah menganjurkan program Cuci-Cuci Langkawi di Pantai Chenang pada Sabtu lalu, selain Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan turut giat membersihkan tempat awam sejak dua minggu lalu.

"Lada juga sudah menganjurkan enam siri kursus pematuhan prosedur operasi standard (SOP) membabitkan 1,238 peserta terdiri daripada wakil industri pelancongan tempatan.

"Dari jumlah itu, 400 syarikat sudah membuat permohonan untuk mendapatkan Sijil MySafe Langkawi dan pada permulaan, kita akan membuat pemeriksaan pematuhan ke atas 40 premis pada minggu pertama selepas gelembung pelancongan dibuka," katanya.

Beliau berkata, pada masa sama, satu pasukan pemantauan bersepadu disertai 25 agensi diketuai Pegawai Daerah Langkawi telah ditubuhkan dalam memastikan pematuhan SOP dalam kalangan pengunjung menerusi rondaan di semua lokasi pelancongan.

"Bagi menarik pelancong, Lada mendapati banyak promosi dilakukan dalam media sosial, malah media dalam talian, cetak dan elektronik turut membantu, manakala syarikat penerbangan menawarkan tawaran menarik.

"Kita juga bersedia dengan pelan kecemasan termasuk saringan di pintu masuk, menyediakan sebuah hotel kuarantin berkapasiti 120 bilik dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Lapang Sasar Antarabangsa Langkawi Malaysia (Lisram) dengan 60 katil.

"Ketika ini, Langkawi sudah mencapai imuniti kelompok apabila jumlah penduduk yang menerima dos pertama vaksin Covid-19 mencecah 92 peratus, manakala 88 peratus penduduk sudah lengkap dua dos," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 5:51 PM