GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Walaupun menolak suntikan vaksin Covid-19 pada peringkat awal, seorang guru akhirnya berubah fikiran untuk menerima vaksinasi bagi memastikan keselamatan anak muridnya.

Guru wanita yang mahu dikenali sebagai Jamilah berusia 50-an itu berkata, demi nyawanya dan masyarakat, dia nekad mengambil suntikan berkenaan bagi mengelak berlaku jangkitan wabak lebih serius.

Menurutnya, dia kini lebih berkeyakinan menjalani kehidupan harian berbanding sebelum ini selepas menerima melengkapkan dos kedua pada 2 Ogos lalu.

Katanya, keadaan kesihatan dirinya seperti biasa tanpa sebarang kesan yang sebelum itu menghantuinya walaupun turut menghidap penyakit kronik.

"Sejujurnya pada mulanya saya agak keberatan untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 ini sebab pelbagai maklumat negatif yang diterima, jadi perasaan takut sentiasa menghantui.

"Ditambah pula suami tidak mengizinkan untuk menerima suntikan berkenaan kerana bimbang apa-apa akan berlaku terhadap saya.

"Justeru, kami mengambil sikap tunggu dan lihat terlebih dahulu perkembangan proses suntikan vaksin Covid-19 ini," katanya yang bertugas di sebuah sekolah rendah di negeri ini.

Menurutnya, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) menghubunginya sebanyak dua kali untuk memujuk, namun dia kekal dengan pendirian untuk menolak menerima suntikan vaksin itu.

"Bagaimanapun, demi anak murid saya selain mahu sentiasa menunaikan solat di masjid dan merentas negeri termasuk nasihat kakak, akhirnya saya menggagahkan diri menerima suntikan itu.

"Pada mulanya rasa berdebar juga, tetapi kini lega dan bersyukur kerana tiada perkara tidak diingini berlaku walaupun saya menghidap penyakit kencing manis," katanya.

Mengulas lanjut, guru mata pelajaran Matematik itu menasihati rakan guru yang menolak vaksin agar menerima suntikan itu demi kebaikan semua pihak terutama keluarga dan murid-murid kerana sekolah bakal dibuka tidak lama lagi.

"Saya bukan guru kaunseling, tapi nasihat saya sebagai kakak, guru-guru yang enggan menerima suntikan vaksin perlu fikir banyak kali sebelum menolak demi anak murid dan juga masyarakat.

"Sekiranya seseorang ditakdirkan terkena jangkitan wabak itu, ianya dapat dielak berlaku lebih serius, jika kena pun mungkin tahap satu atau dua sahaja... tidaklah teruk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 5:21 PM