Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kerajaan akan membenarkan beberapa kelonggaran baharu yang dinilai berisiko rendah, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Namun, beliau berkata, pengumuman mengenai kelonggaran tambahan bagi sektor sosial dan ekonomi itu akan dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat.

"Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik hari ini, bersetuju untuk membenarkan beberapa kelonggaran baharu.

"Dalam menetapkan kelonggaran ini, kerajaan sesungguhnya amat memahami tekanan, kepenatan dan kelesuan rakyat selepas lebih setahun berada dalam situasi pandemik yang membataskan aktiviti serta pergerakan.

"Situasi ini tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana berisiko membawa kepada kesan lebih serius terutama menjejaskan kesihatan mental," katanya.

Beliau sebelum itu mengadakan pertemuan bersama Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Hishammuddin berkata, kerajaan juga sedang meneliti dan mempertimbangkan beberapa bentuk kelonggaran tambahan lain.

Katanya, antara dipertimbangkan termasuk aktiviti pelancongan selain daripada destinasi yang termasuk dalam inisiatif gelembung pelancongan, menambah destinasi di bawah inisiatif gelembung pelancongan untuk destinasi bukan pulau dan pembukaan gimnasium.

"Sebelum kelonggaran berkenaan diumumkan, kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terlebih dahulu melakukan penilaian tahap risiko jangkitan Covid-19.

"Sekiranya ia memenuhi syarat serta kriteria ditetapkan, kerajaan bersedia membenarkan pelaksanaannya. Perincian mengenainya akan dibincang dalam Mesyuarat Kuartet Menteri akan datang," katanya.

Hishammuddin ketika sidang media selepas lawatan kerja ke PPV pandu lalu di Batalion ke-6 Rejimen Renjer Diraja (6RRD) Kem Ulu Tiram, Johor Bahru hari ini. Foto Nur Aisyah Mazalan
Hishammuddin ketika sidang media selepas lawatan kerja ke PPV pandu lalu di Batalion ke-6 Rejimen Renjer Diraja (6RRD) Kem Ulu Tiram, Johor Bahru hari ini. Foto Nur Aisyah Mazalan

Mengulas lanjut, beliau bersama tiga menteri terbabit akan turut memperhalusi usaha ke arah memperkemaskan lagi prosedur operasi standard (SOP) sedia ada supaya lebih difahami rakyat, golongan industri dan pihak penguatkuasaan.

Katanya, antara matlamat adalah mengurangkan 181 SOP merangkumi empat fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) sedia ada kepada hanya 10 SOP dengan mengambil kira data sains daripada KKM dan pandangan pakar serta golongan industri.

Tambahnya, penetapan SOP selepas ini akan dibuat dengan matlamat untuk memastikan berupaya mengelak 3S (sesak, sempit dan sembang dekat) sekali gus mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 3:04 PM