Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengunjurkan 100 peratus kakitangan dan penuntut institut pengajian tinggi (IPT) menerima suntikan vaksin lengkap menjelang hujung Oktober depan.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada pelaksanaan Program VACC2Campus yang giat dijalankan kementeriannya.

Menurutnya, program dengan kerjasama Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) itu bagi meningkatkan jumlah warga IPT yang mendapat vaksinasi lengkap sebelum kampus dibuka.

"Sehingga kini, sebanyak 66 peratus pelajar dan 90 peratus kakitangan IPT lengkap divaksin.

"Oleh itu, saya menyeru semua pelajar dan kakitangan IPT yang masih belum divaksin untuk segera berbuat demikian," katanya pada sidang media Pengumuman Pengoperasian IPT secara maya, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noraini berkata, warga IPT boleh mendapatkan suntikan vaksin secara terus tanpa janji temu (walk-in) di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin dengan hanya membawa kad pelajar/kad pekerja dan MyKad/pasport.

Bagi pelajar baharu pula, beliau memberitahu mereka perlu membawa surat tawaran kemasukan ke IPT berserta MyKad/pasport.

PROGRAM dengan kerjasama Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) itu bagi meningkatkan jumlah warga IPT yang mendapat vaksinasi lengkap sebelum kampus dibuka.
PROGRAM dengan kerjasama Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) itu bagi meningkatkan jumlah warga IPT yang mendapat vaksinasi lengkap sebelum kampus dibuka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 2:55 PM