GAMBAR hiasan. FOTO ARKIB NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO ARKIB NSTP
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Beberapa lokaliti di Sabah, Pahang dan Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 15 September hingga 28 September 2021.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad berkata, PKPD dilaksanakan di Kilang Fu Yee, Brantian, Kalabakan dan Kampung Rugading, Kota Marudu di Sabah.

Beliau berkata, selain itu, dua lokaliti di Kota Kinabalu iaitu Kampung Warisan dan Rumah Pangsa Tanjung Aru dikenakan PKPD dalam tempoh sama.

Katanya, PKPD di Pahang dilaksanakan di Kampung Paya Pelong, Kerdau, Temerloh, Pahang.

"Dua lokaliti di Kelantan di Mukim Pengkalan Kubur, Tumpat iaitu Kampung Bendang Pak Yong dan Kampung Simpangan dikenakan PKPD pada tarikh sama.

"Prosedur Operasi Standard (SOP) adalah sama seperti diumumkan sebelum ini," katanya.

Beliau berkata, PKPD di Kampung Lotong, Kota Marudu, Sabah yang sepatutnya tamat esok dilanjutkan dari 15 September sehingga 28 September 2021.

Selain itu, PKPD di Kampung Temalian, Mukim Ulu Dong , Raub, Pahang turut dilanjutkan bagi tempoh sama.

Manakala PKPD di Kampung Hidayat, Batu 4, Tawau dan Kampung Penangah, Tongod, Sabah ditamatkan esok seperti dijadualkan.

Mohd Radzi berkata, PKPD di tiga lokaliti di Lata Rek, Mukim Olak Jeram, Kuala Krai Kelantan iaitu Kampung Lata Tual, Kampung Tok Uban dan Kampung Kubang Kerian ditamatkan esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 9:38 PM