KERAJAAN Persekutuan dan Pakatan Harapan memeterai Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik. FOTO ihsan Jabatan Perdana Menteri
KERAJAAN Persekutuan dan Pakatan Harapan memeterai Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik. FOTO ihsan Jabatan Perdana Menteri
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) memeterai Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan berkata, ia membentuk satu kerjasama 'dwi-partisan' yang ampuh dan mantap dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia, selaras titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al- Musta'in Billah, sempena pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat, Parlimen Ke-14, hari ini.

Di dalam Titah Diraja hari ini, Seri Paduka meminta semua pihak perlu mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan demi mencapai matlamat Malaysia Makmur, Inklusif dan Mampan.

Perdana Menteri berkata, semangat Keluarga Malaysia yang menekankan perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan itu dizahirkan dalam memorandum persefahaman oleh kerajaan dan Ahli-ahli Yang Berhormat pada petang ini.

"Transformasi yang diperkenalkan kerajaan ini bukan sahaja mendorong kepada tadbir urus yang cemerlang dalam memerangi Covid-19 dan pemulihan ekonomi, bahkan memangkin iklim pelaburan yang kondusif, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi yang kukuh demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

"Memorandum ini merangkumi Pemerkasaan Pelan Covid-19, Transformasi Pentadbiran, Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia MA63 dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu," katanya.

Beliau berkata, kerajaan yakin memorandum persefahaman itu bukan sahaja berupaya mengenepikan segala perbezaan politik malah mampu memastikan pemulihan negara berjalan secara holistik dan inklusif.

Perdana Menteri turut mengucapkan setinggi penghargaan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang membulatkan tekad, mengenepikan perbezaan ideologi politik untuk bersama-sama memacu kestabilan ekonomi dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.


Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 6:06 PM