Bangunan SPRM
Bangunan SPRM
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Kedah dan Jabatan Perhutanan negeri mengambil tindakan tegas dalam mengatasi masalah pencerobohan hutan simpan di negeri itu.

Presidennya Mohideen Abdul Kader berkata, keadaan itu menimbulkan kebimbangan kerana ia bukan sahaja memusnahkan biodiversiti kawasan hutan terbabit tetapi boleh mencetuskan bencana alam dan kepada kehidupan penduduk.

Mohideen berkata, pihaknya turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat mengenai pencerobohan itu.

"Siasatan itu adalah bagi mengenal pasti kemungkinan terdapat unsur rasuah dalam isu berkenaan.

"Bagaimana aktiviti itu boleh berlaku dalam jangka masa yang begitu lama serta membabitkan kawasan hutan simpan yang luas tanpa tindakan segera dan berkesan diambil oleh mana-mana pihak berkaitan?" katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan mengenai kenyataan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kedah Muhamad Abdullah mengenai kira-kira 3,500 hektar hutan simpan di negeri diteroka secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab sejak 10 tahun lalu.

Penerokaan haram itu kebanyakannya dilakukan bagi tujuan pertanian termasuk bagi tanaman durian, getah dan kelapa sawit.

Sehubungan itu, Mohideen berkata, CAP meminta pihak berkenaan supaya menguatkuasakan Akta Perhutanan Negeri 1984 dengan tegas tanpa memberi sebarang pertimbangan kepada mereka yang disabitkan melakukan perbuatan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 3:39 PM