Omar Ahmad


Johor Bahru: Kerajaan negeri mengenal pasti lima projek pembinaan jambatan dan jalan yang lewat siap mengikut jadual ditetapkan di daerah ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohd Solihan Badri berkata, semua projek itu lewat siap antara enam bulan hingga setahun dari tempoh yang diberikan.

Katanya, antara projek terbabit ialah naik taraf dan bina jambatan Kampung Perigi Acheh di Pasir Gudang, kerja naik taraf jalan utama Gelang Patah-Ulu Choh, kerja melebar Sungai Masai di Jalan Masai Lama dan kerja naik taraf jalan dari Taman Kempas Utama ke Kampung Maju Jaya.

"Faktor utama projek berkenaan mengalami kelewatan adalah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19.

"Kelewatan projek siap juga disebabkan masalah kekurangan tenaga kerja yang dihadapi syarikat kontraktor dilantik, kekurangan bekalan bahan mentah berikutan kilang tidak beroperasi serta masalah pengurusan," katanya selepas lawatan kerja ke tapak jambatan Taman Kempas Utama ke Kampung Maju Jaya di sini, hari ini.

Menurut Mohd Solihan, projek kerja naik taraf jalan dari Taman Kempas Utama ke Kampung Maju Jaya sepanjang 2.2 kilometer yang dimulakan pada Februari 2018 itu sepatutnya siap Julai lalu.

Namun katanya, projek itu hanya siap 88 peratus dan kelewatan disebabkan isu jambatan yang berada di jalan terbabit.

"Isu jambatan ini antara sebab utama kelewatannya adalah struktur jambatan tersebut, yang mana kerangka jambatan itu tidak dapat disiapkan oleh kilang kerana tidak dibenarkan beroperasi sebelum ini.

"Tapi kini kilang terbabit kembali memulakan operasi dan dijangka akan dapat membekalkan struktur berkenaan dalam masa terdekat.

"Apabila siap kelak, pelebaran jalan dari dua lorong dua hala kepada empat lorong dua hala ini akan melancarkan perjalanan yang menghubungkan Kempas ke Seelong," katanya yang menjangka projek bernilai RM29.6 juta itu bakal siap menjelang akhir tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 5:46 PM
Mohd Solihan (dua dari kiri) melihat jambatan yang menjadi masalah utama kerja naik taraf jalan dari Taman Kempas Utama ke Kampung Maju Jaya lewat disiapkan. FOTO OMAR AHMAD
Mohd Solihan (dua dari kiri) melihat jambatan yang menjadi masalah utama kerja naik taraf jalan dari Taman Kempas Utama ke Kampung Maju Jaya lewat disiapkan. FOTO OMAR AHMAD