Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim (duduk) menandatangi buku lawatan di SJR Jalan Kuala Kedah ketika melakukan pemantauan di kawasan PKPD Kuala Kedah. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim (duduk) menandatangi buku lawatan di SJR Jalan Kuala Kedah ketika melakukan pemantauan di kawasan PKPD Kuala Kedah. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperluaskan penggunaan dron bagi melakukan pemantauan harian di kawasan yang dilaksana Perintah Kawalan Pergerakan (PKPD) seluruh negara.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, penggunaan dron dapat membantu mengelak pegawai dan anggota polis yang bertugas di kawasan PKPD dijangkiti Covid-19.

Katanya, dron boleh diguna memantau pergerakan individu terutama di lokasi yang menjadi laluan tikus supaya tidak berlaku sebarang pergerakan atau cubaan lari dari kawasan PKPD.

"Dron polis mampu merakam imej sekiranya ada yang berhimpun atau melanggar prosedur operasi standard (SOP) di kawasan PKPD kerana ia turut mempunyai kawalan suara yang akan mengarahkan orang ramai pulang.

"Ia juga mampu menghantar maklumat kepada pasukan pemantau untuk bergerak ke lokasi berkenaan untuk melakukan pemantauan," katanya kepada pemberita ketika melakukan tinjauan di sekatan jalan raya (SJR) Jalan Kuala Kedah yang dilaksana PKPD sejak 6 September lalu.

Hadir sama Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat; Timbalannya, Datuk Mohd Roze Shaari dan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir.

Mazlan berkata, setakat ini penggunaan dron biasa adalah mencukupi di seluruh negara berbanding penggunaan dron pemantauan di sempadan negara yang berkeupayaan lebih tinggi.

Katanya, setakat ini polis dalam proses menerima lebih banyak dron berkeupayaan tinggi bagi memudahkan pemantauan dilakukan.

Dalam pada itu, Mazlan berkata, PKPD Kuala Kedah yang dilaksana sehingga 19 September depan membabitkan populasi 14,465 penduduk dengan mereka tidak dibenarkan keluar masuk tanpa sebarang tujuan.

Beliau berkata, PKPD ini membabitkan sembilan taman perumahan dan 15 kampung di kawasan yang dilapor berlaku penularan jangkitan Covid-19.

"Kita ada dua SJR iaitu di sini (Jalan Kuala Kedah) dan satu lagi di Kubang Rotan selain 11 laluan ditutup untuk mengelak individu cuba lari dari kawasan ini.

"Untuk pergerakan lori mengangkut ikan kita dibenarkan selain hanya nelayan berdaftar dan mempunyai lesen saja dibenarkan turun ke laut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 5:38 PM