Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mempertimbangkan cadangan membina sekolah sukan bagi orang kurang upaya (OKU) di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya menyambut baik cadangan Senator Datuk Ras Adiba Radzi di Dewan Negara yang sekali gus bakal menjadikan ia sebagai sekolah sukan OKU pertama dalam negara.

"Ini satu cadangan yang sangat baik, namun kita perlu perhalusi dan akan terus mengadakan perbincangan dengan pihak Kementerian Pelajaran dan Insya-Allah kalau satu hari nanti kita mendoakan ia dapat jadi kenyataan," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Latihan Memanah Para Negeri Perak di Padang Jabatan Veterinar Negeri Perak di sini, hari ini.

Ahmad Faizal mengucapkan terima kasih di atas saranan Ras Adiba yang memikirkan untuk membuka satu sekolah khas bagi pembangunan sukan atlet paralimpik negara itu.

"Kita berharap pembinaan sekolah sukan berkenaan dapat direalisasikan supaya dapat memberi inisiatif yang lebih baik kepada sukan paralimpik kerana atlet mampu mengharumkan nama negara di persada dunia," katanya.

DATUK Seri Ahmad Faizal Azumu (tengah) melihat anak panah atlet memanah Paralimpik Perak, Mohamad Saiful Abdul Manan (kanan). FOTO Bernama
DATUK Seri Ahmad Faizal Azumu (tengah) melihat anak panah atlet memanah Paralimpik Perak, Mohamad Saiful Abdul Manan (kanan). FOTO Bernama

Terdahulu, media melaporkan kerajaan perlu membentangkan penilaian Pelan Tindakan Orang Kurang Upaya (OKU) yang tamat tahun hadapan serta memulakan proses untuk penyediaan Pelan Tindakan OKU 2023-2030, yang lebih fokus.

Ras Adiba Radzi berkata, ia adalah antara 16 perkara dicadang untuk dilaksanakan kerajaan, dalam usaha memperkasakan komuniti OKU di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 3:26 PM