ALLAHYARHAM Ramlan Abdul Razak.
ALLAHYARHAM Ramlan Abdul Razak.
Ahmad Hasbi


Seremban: Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Ramlan Abdul Razak, 59, meninggal dunia awal pagi tadi, akibat kesan sampingan selepas dijangkiti Covid-19.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohammad Mat Yusop berkata, Allahyarham dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban pada 8 Ogos lalu, akibat dijangkiti Covid-19.

Katanya, arwah dimaklumkan sudah sembuh daripada Covid-19, namun mengalami sindrom 'Long Covid'.

"Kita rasa amat sedih dengan kehilangan ini, arwah adalah seorang pegawai polis yang komited dalam tugas. Kita rasa kehilangan memandangkan arwah adalah seorang yang berpengalaman dalam urusan siasatan jenayah.

"Segala kebajikan ahli keluarga akan kami santuni mengikut keperluan semasa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, Allahyarham yang berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 35 tahun dan akan menamatkan perkhidmatan secara bersara wajib pada 9 Oktober depan.

Allahyarham disahkan meninggal dunia jam 1.35 pagi tadi akibat Covid-19 class SB with secondary infection.

Arwah meninggalkan 10 anak dan seorang balu, Noor As Azura Md Aris yang kini menetap di Seremban 2.

Jenazah Allahyarham disolatkan di Surau IPK Negeri Sembilan, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang pada jam 10 pagi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 1:23 PM