GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Sejumlah 592 kematian akibat Covid-19 yang dilaporkan semalam adalah termasuk kes tertunggak atau 'backlog' yang tidak dilaporkan sebelum ini.

Data yang dikongsi laman web Covidnow menunjukkan, daripada 592 kes terbabit, hanya 100 kematian dicatatkan dalam tempoh 24 jam semalam

Untuk rekod, kematian tertinggi pernah dilaporkan di negara ini adalah pada 26 Ogos lalu iaitu sebanyak 393 kes.

Dalam statistik berkenaan, Selangor mencatatkan kes kematian tertinggi dengan 359 kes, Sabah (53), Kedah (49), Perak (28), Pulau Pinang (27), Negeri Sembilan (15), Kelantan (11), Johor (10), Sarawak (10), Melaka (9), Kuala Lumpur (8), Pahang (6), Terengganu (6) dan Perlis (1).

Data yang dikongsi laman web itu itu turut menunjukkan hanya Labuan dan Putrajaya tidak melaporkan pertambahan kematian dalam tempoh 24 jam semalam.

Perkembangan itu menjadikan jumlah keseluruhan angka korban disebabkan Covid-19 di negara ini mencecah 20,419 kes.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, pihaknya kini dalam proses untuk melakukan pembersihan terhadap data kes-kes tertunggak demi memastikan usaha pelaporan yang lebih telus.

Berikutan itu, KKM turut menjangkakan kes harian Covid-19 akan mencatatkan jumlah lebih tinggi bagi tempoh beberapa hari lagi.

Perkara lain akan dikemas kini adalah data tertunggak kes kematian dan kes sembuh mengikut tarikh sebenar pelaporan.

Dalam perkembangan berkaitan, KKM melaporkan kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 di negara ini turut menunjukkan penurunan semalam, iaitu sejumlah 239,351 kes berbanding 242,161 kes pada Jumaat.

Daripada jumlah kes aktif itu, 199,480 atau 83.3 peratus sedang menjalani kuarantin di rumah, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (25,602), hospital (12,997), unit rawatan rapi (ICU) yang memerlukan alat bantuan pernafasan (548) serta ICU tanpa bantuan pernafasan (724).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 10:32 AM