MASIDI. FOTO Arkib NSTP
MASIDI. FOTO Arkib NSTP
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Kerajaan negeri membenarkan individu yang masuk ke Sabah dari negeri lain untuk urusan rasmi tanpa perlu menjalani ujian saringan Covid-19 dan kuarantin apabila tiba di negeri ini.

Bagaimanapun, kebenaran itu yang dimasukkan dalam prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Dua bagi negeri Sabah yang dikemas kini hari ini hanya untuk individu lengkap vaksin dan berada di negeri ini dalam tempoh tiga hari.

Jurucakap perkembangan Covid-19 Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, bagi urusan rasmi melebihi tiga hari yang membabitkan individu lengkap vaksin, kelonggaran sama turut diberikan, namun diarah membuat pemantauan kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera.

Katanya, kemasukan ke negeri ini hanya perlu mendapatkan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan disahkan negatif Covid-19 melalui saringan RT-PCR tiga hari sebelum perjalanan.

"Bagi individu belum lengkap vaksin yang masuk ke Sabah atas urusan rasmi dalam tempoh tiga hari, mereka wajib menjalani kuarantin selama 10 hari dan ujian RTK-Antigen pada hari kelapan," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Bagi bukan urusan rasmi, katanya kemasukan ke Sabah hanya dibenarkan atas kebenaran polis, negatif ujian RT-PCR tiga hari sebelum bertolak, tidak bergejala dan perlu menjalani kuarantin selama 14 hari.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, individu yang keluar dari Sabah ke Sarawak dan Labuan atas urusan tertentu juga perlu menjalani ujian RT-PCR tiga hari sebelum bertolak selain tertakluk kepada syarat ditetapkan pihak berkuasa di negeri terbabit.

Bagaimanapun, katanya larangan pergerakan individu keluar masuk di antara Labuan dan tanah besar Sabah melalui jalan laut yang dikuatkuasakan sejak awal tahun ini masih dikekalkan.

"Pergerakan individu di antara Labuan dan Sabah melalui feri penumpang, bot penumpang, feri kenderaan atau bot persendirian adalah tidak dibenarkan kecuali untuk urusan kecemasan dengan kebenaran PDRM, pihak berkuasa negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS)," katanya.

Katanya, hanya individu yang keluar dari Sabah ke Semenanjung tidak perlu menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum berlepas seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Kerajaan negeri, katanya, turut membenarkan keluar masuk pasangan jarak jauh dan ibu bapa yang ingin berjumpa anak berusia bawah 18 tahun, namun hanya untuk mereka yang lengkap vaksin dan mendapat kebenaran polis, selain tertakluk kepada syarat kemasukan ditetapkan kerajaan negeri.

Beliau berkata, larangan rentas daerah dan penguatkuasaan sekatan jalan raya (SJR) juga masih dikuatkuasakan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 September 2021 @ 11:01 PM