Nancy Shukri.
Nancy Shukri.
Oleh Muhammad Yusri Muzamir


Kuala Lumpur: Agensi pelancongan dibenarkan beroperasi serta merta tanpa perlu mendaftar dengan 'Covid-19 Intelligent Management System' (CIMS).

Kebenaran berkenaan diberi bagi menjayakan projek rintis gelembung pelancongan Pulau Langkawi, Kedah bermula Khamis depan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pagi tadi.

Beliau yakin usaha membantu 5,335 agensi pelancongan berdaftar di negara ini yang terkesan hampir dua tahun untuk menjana semula pendapatan, dapat dilaksanakan segera dan berjalan lancar.

"Kerajaan komited untuk memulihkan ekonomi serta memastikan kesinambungan perniagaan penggiat industri pelancongan dan kebudayaan, terutamanya dalam mengekalkan pekerjaan mereka yang terbabit dalam rantaian sektor sama.

"Malah, insentif seperti pemberian bantuan khas sekali bayar berjumlah RM3,000 kepada agensi pelancongan turut disediakan.

"Sebanyak 2,899 agensi pelancongan sudah menerima bantuan dengan jumlah pembayaran RM8.6 juta hingga Julai lalu. Manakala pembayaran kepada 2,436 agensi pelancongan lagi sedang diproses," katanya pada kenyataan.

Semalam, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) dilapor mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pembukaan semula destinasi pelancongan pertama negara, Pulau Langkawi.

Antara SOP berkenaan ialah, destinasi itu boleh dikunjungi pelancong domestik dari seluruh negara termasuk yang berada dalam Fasa 1, Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pembukaan itu terhad kepada pelancong domestik lengkap divaksinasi, selain tiada had umur ditetapkan bagi kemasukan ke Pulau Langkawi dan individu berumur bawah 18 tahun perlu bergerak bersama penjaga lengkap dos vaksinasi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 September 2021 @ 6:00 PM