GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Seorang warga emas yang terbabit dalam aktiviti perkumpulan individu di gerai sewa di simpang sebuah kampung telah mencetuskan satu lagi kluster baharu, Kluster Rapak, semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, kluster yang dikenal pasti di daerah Ranau itu dikategorikan pihaknya sebagai kluster jenis komuniti.

Mengulas lanjut, Masidi berkata kes indeks adalah seorang wanita berusia 81 tahun yang juga pemilik bangunan gerai sewa.

"Kes indeks sering datang melawat di gerai sub-indeks sebelum mula bergejala batuk, selesema dan sakit dada sejak 22 Ogos lalu.

"Kes indeks kemudiannya disahkan positif Covid-19 di sebuah klinik swasta pada 23 Ogos dan berada di rumah sahaja sebelum mendapatkan rawatan pada hari seterusnya.

"Beberapa siri saringan kontak rapat dijalankan pada 31 Ogos hingga 4 September berjaya mengesan 21 kes, sebelum saringan kontak rapat diteruskan pada 8 September seterusnya mendapati 20 kes lagi positif menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 42 kes termasuk lima kes baharu hari ini (semalam).

"Penularan wabak disyaki berpunca daripada aktiviti perkumpulan individu di gerai sewa simpang masuk Kampung Rapak," katanya dalam satu kenyataan media.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata, jumlah kes harian Covid-19 semalam kekal mencatatkan sebanyak empat angka.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu Covid-19 semalam ini adalah sebanyak 2,298 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 167,737 kes.

"Sebanyak 22 kes kematian dilaporkan iaitu tiga kes di Sandakan, Lahad Datu, Tawau dan Kudat, dua kes di Penampang, Semporna, Keningau dan Kota Kinabalu manakala Tenom dan Ranau masing-masing mencatatkan satu kes," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 September 2021 @ 8:36 AM