Muhammad Jailani Khamis menunjukkan sijil pengesahan dos vaksin yang diserahkan kepada penggiat industri pelancongan di Seri Negeri, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Muhammad Jailani Khamis menunjukkan sijil pengesahan dos vaksin yang diserahkan kepada penggiat industri pelancongan di Seri Negeri, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat


Ayer Keroh: Kerajaan negeri Melaka sedang memperkasa usaha pemulihan sektor pelancongan menjelang peralihan negeri itu ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN), dijangka bulan depan.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, ia termasuk melaksanakan program vaksinasi kepada semua penggiat industri pelancongan dikategorikan sebagai 'frontliners economic' dan perlu diberikan perhatian dalam Program Imuninasi Covid-19 Kebangsaan (Pick).

Beliau berkata, langkah berkenaan memberi keyakinan kepada pelancong untuk mendapatkan perkhidmatan daripada penggiat industri pelancongan di negeri ini.

"Kita ke arah persiapan ke Fasa 3 PPN yang bermula dengan pelancongan domestik terlebih dahulu sebelum disusuli satu pakej pelancongan sedia ada yang akan diaktifkan serta jenamakan semula dengan pengisian baharu lebih istimewa.

"Sekiranya berjaya (melangkah ke Fasa 3) pada Oktober, menjelang Disember kita akan sediakan satu lagi pakej istimewa.

"Insya-Allah saya yakin akan menghidupkan kembali industri pelancongan Melaka," katanya selepas menyampaikan sijil pengesahan dos suntikan vaksin lengkap kepada penggiat industri pelancongan negeri di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP), Jabatan Ketua Menteri Melaka, Sa'ari Basiron dan Pengerusi Persatuan Homestay Melaka, Datuk Akramuddin Abd Aziz.

Muhammad Jailani berkata, kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk memberikan sijil pengesahan kepada semua penggiat industri pelancongan menerima 100 peratus vaksin lengkap.

Beliau berkata, langkah itu antara inisiatif bagi memberikan jaminan bahawa pekerja dalam sektor pelancongan sudah menerima suntikan vaksin lengkap.

Menurutnya, sebelum ini, 120 premis pelancongan di Melaka sudah menerima sijil berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 6:55 PM