LIM Guan Eng. FOTO arkib NSTP
LIM Guan Eng. FOTO arkib NSTP
Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menafikan beliau melanggar perintah kuarantin kendiri dengan menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dan keluar ke tempat awam untuk mengedarkan bakul makanan.

Guan Eng dalam kenyataan hari ini berkata, kedua-dua dakwaan yang dibuat ke atasnya adalah tidak benar.

Menurutnya, beliau hanya diberitahu bahawa berkemungkinan kontak rapat dengan seorang pesakit positif Covid-19 pada 1 September ketika menghadiri sidang DUN pada 2 September.

"Selepas makluman itu, saya terus tinggal di rumah dan menjalani kuarantin sebelum diuji negatif.

"Pada 6 September, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) secara rasminya mengeluarkan arahan kuarantin kendiri di rumah dari 1 sehingga 10 September dan mewajibkan saya memakai gelang merah jambu yang mana saya tidak keluar ke tempat awam selepas itu," katanya.

Berhubung pengedaran bakul makanan pula, Guan Eng berkata, beliau tidak keluar mengedarkan bakul makanan selepas 2 September seperti yang didakwa beberapa pihak berdasarkan hantaran di Facebooknya.

Katanya, hantaran Facebook pengedaran bakul makanan itu dilakukan beberapa kali pada atau sebelum 31 Ogos di kawasan Parlimennya di Bagan.

"Hantaran Facebook pengedaran bakul makanan dibuat bukan pada hari yang sama tetapi beberapa hari selepas acara itu diadakan.

"Wakil rakyat DAP antaranya Phee Boon Poh, Soon Lip Chee dan Sateesh Muniandy yang hadir bersama serta penerima bantuan juga dapat mengesahkan pengedaran bakul makanan itu dilakukan pada atau sebelum 31 Ogos," katanya.

Semalam, Pemuda Gerakan dan MCA Pulau Pinang membuat laporan polis terhadap Guan Eng yang didakwa melanggar tempoh kuarantin kendiri pada 1 hingga 10 September selepas beliau menghadiri sidang DUN pada 2 September.

Jurucakap Pemuda Gerakan negeri, Mohd Aswaad Jaafar dilaporkan berkata, Ahli Parlimen Bagan itu sepatutnya menjalani kuarantin kendiri selama 10 hari sehingga 10 September ini, tetapi menghadiri sidang DUN Pulau Pinang, baru-baru ini.

Justeru, tindakan Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Putih tidak hadir ke mahkamah semalam dipersoalkan beberapa pihak.

Terdahulu, perbicaraan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang ditangguhkan kepada 22 September ini, selepas beliau diarah menjalani kuarantin kendiri kerana menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

Peguam Gobind Singh Deo memaklumkan kepada mahkamah, anak guamnya diarah menjalani perintah kuarantin kendiri selama 10 hari bermula 1 hingga 10 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 12:14 PM