MOHD Aswaad (kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap Guan Eng yang didakwa melanggar peraturan kuarantin kendiri. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
MOHD Aswaad (kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap Guan Eng yang didakwa melanggar peraturan kuarantin kendiri. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Pemuda Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Pulau Pinang membuat laporan polis terhadap Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, yang didakwa melanggar peraturan kuarantin kendiri.

Jurucakap Pemuda Gerakan negeri, Mohd Aswaad Jaafar berkata, Ahli Parlimen Bagan itu sepatutnya menjalani kuarantin kendiri selama 10 hari iaitu sehingga 10 September ini.

Namun Guan Eng didapati menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulau Pinang baru-baru ini.

"Peguam Guan Eng memberi alasan anak guamnya itu tidak dapat hadir ke mahkamah hari ini kerana perlu menjalani kuarantin kendiri.

"Tetapi mengapa beliau boleh hadir sidang Dun pada 2 September lalu," katanya di sini, hari ini.

Sehubungan itu, satu laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini.

Menurut Mohd Aswaad, kenyataan berhubung gagal menghadiri diri ke mahkamah dengan alasan kuarantin itu amat bercanggah.

"Tindakan Guan Eng itu juga dilihat seolah-olah menghina mahkamah," katanya.

Terdahulu, perbicaraan kes Guan Eng yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang ditangguhkan kepada 22 September ini, selepas beliau diarah menjalani kuarantin kendiri kerana menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

Peguam, Gobind Singh Deo memaklumkan kepada mahkamah, anak guamnya diarah menjalani perintah kuarantin kendiri selama 10 hari bermula 1 hingga 10 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 7:53 PM