Murnaena Muhammad Nasir
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Penuntut berharap keputusan pembukaan semula institusi pengajian tinggi (IPT) tidak dibuat secara terburu-buru bagi memastikan sesi pengajian secara fizikal dapat dilakukan dengan lebih baik.

Penuntut Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Penerbitan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Raimi Syahmi Redzuan, 21, berkata, keputusan sesi pengajian secara fizikal itu seharusnya dipertimbangkan semula.

"Pembukaan semula pengajian secara fizikal sememangnya dinantikan penuntut IPT.

"Pun begitu, ia perlu dibincangkan semula kerana kita tidak mahu perkara sama berulang apabila pelajar terpaksa berpatah balik kerana arahan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada saat akhir," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, perbincangan membabitkan penuntut dan pihak universiti perlu dibuat agar keputusan rasional dapat dicapai.

"Kes Covid-19 masih lagi membimbangkan, saya lebih bersetuju jika pihak KPT dapat mempertimbangkan untuk menangguhkan keputusan itu sehingga pada Januari 2022.

"Ia lebih memadai kerana persediaan dapat dilakukan oleh semua pihak dengan lebih teratur," katanya.

Penuntut Sarjana Muda Reka Bentuk Multimedia Interaktif Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Nurul Aina Othman, 24, pula berkata, keputusan KPT membuka semula pengajian secara fizikal bulan depan terlalu mengejut.

"Bagi penuntut dari luar negeri kembali ke kampus pastinya sukar kerana perlu mengambil kira kos pengangkutan, sewa rumah dan keperluan lain.

"Bukan semua mempunyai kewangan yang cukup dan sebaiknya pembukaan semula IPT dibuat Januari depan untuk memudahkan penuntut dan ibu bapa.

"Namun, jika KPT mempunyai perancangan dan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih baik bagi menangani bebanan kewangan pelajar serta situasi pandemik Covid-19, saya bersetuju ia dibuka semula," katanya.

Julai lalu, KPT mengumumkan penuntut IPT dibenarkan kembali ke kampus secara berperingkat mulai bulan ini, dengan kemasukan sepenuhnya, Oktober depan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 6:17 PM