Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Ratusan individu di daerah ini yang belum menerima suntikan imunisasi Covid-19 membanjiri Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Millenium di sini, hari ini secara jumpa terus.Bahkan ada yang sanggup datang sejam lebih awal sebelum waktu operasi yang bermula jam 10 pagi bagi mendapatkan slot suntikan berkenaan.

Namun, keadaan terkawal dengan kecekapan petugas PPV yang membuat persiapan rapi bagi membantu mereka yang hadir.

Tinjauan di PPV itu mendapati, sebahagian besar individu yang hadir terdiri daripada golongan berusia 20-an serta mereka yang belum berdaftar dalam aplikasi MySejahtera.

Pembantu kedai makan, Mohd Razman Ramli, 23, berkata dia hadir mendapatkan suntikan vaksin selepas tular berita berhubung perkara itu di aplikasi WhatsApp.

"Saya pula bekerja di kedai makan dan majikan juga meminta saya segera mendaftarkan diri.

"Saya ambil peluang ini untuk mendapatkan suntikan demi keselamatan diri," katanya ditemui.

ANTARA orang ramai yang hadir untuk mendapatkan vaksin Covid-19 secara walk-in di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Millenium Kepala Batas. FOTO Danial Saad
ANTARA orang ramai yang hadir untuk mendapatkan vaksin Covid-19 secara walk-in di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Millenium Kepala Batas. FOTO Danial Saad

Bagi Pek Kok Lim, 45, dia membawa anak sulungnya, Jin Wei, 18, untuk mendapatkan suntikan vaksin sebagai persediaan bagi melanjutkan pengajian.

"Bila dapat tahu boleh dapatkan suntikan secara jumpa terus, saya maklumkan pada anak dan tanpa membuang masa, dia setuju untuk terus pergi ke PPV ini," katanya.

Difahamkan, 2,200 dos vaksin diperuntukkan di PPV berkenaan yang mana 500 daripadanya dikhususkan kepada penerima yang datang secara jumpa terus.

Semalam, kerajaan negeri memaklumkan, individu terdiri daripada warganegara di negeri ini yang belum menerima suntikan vaksin Covid-19 boleh hadir ke 10 PPV disenaraikan untuk mendapatkan suntikan berkenaan secara jumpa terus.

Bagaimanapun, ia diberikan secara siapa datang dulu dia dapat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 2:41 PM