Zahid Hamidi.
Zahid Hamidi.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini tadi, diberitahu bahawa pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dalam kesemua 12 pertuduhan pecah amanah (CBT) dihadapi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membabitkan dana Yayasan Akalbudi kerana bekas pembantunya yang mempunyai kawalan ke atas buku cek milik yayasan dan bekas timbalan perdana menteri itu.

Peguam Hamidi Mohd Noh, yang mewakili Ahmad Zahid, berkata, pengeluaran 52 keping cek dalam pertuduhan CBT itu dikaitkan dengan bekas Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly, yang juga saksi pendakwaan ke-90 (SP90).

"Bagi 12 tuduhan CBT, SP90 adalah saksi pendakwaan yang paling penting kerana pada waktu berkenaan, beliau mengendali urusan kewangan Yayasan Akalbudi, terutama ketika membuat pembayaran untuk akaun Yayasan.

"Mejar Mazlina mempunyai kawalan penuh, pemilikan dan jagaan ke atas semua buku cek milik Yayasan Akalbudi dan tertuduh, dan beliaulah satu-satunya yang memegang kunci laci tempat cek itu disimpan, malah tertuduh sendiri tidak memiliki kunci itu.

"Keterangan SP90 bahawa beliau juga menguruskan hal-hal peribadi tertuduh, terutama urusan kewangan peribadi tertuduh termasuk cek peribadinya. Tugas-tugas ini dipikulnya selepas pemindahan tugas daripada Datuk Rosnah (setiausaha eksekutif tertuduh sebelumnya) kepada SP90," katanya semasa berhujah pada akhir kes pendakwaan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Hamidi berkata dapat disimpulkan bahawa tertuduh sendiri tidak memiliki kebebasan atau akses untuk menyediakan cek berkenaan.

"Penelitian mengenai bagaimana dan mengapa cek itu dikeluarkan, akan menunjukkan bahawa liabiliti jenayah tidak dapat dikaitkan dengan tertuduh," hujahnya.

Peguam itu berkata, daripada 52 keping cek itu, 44 adalah berkaitan dengan caj kad kredit.

Hamidi seterusnya berhujah bahawa tidak ada liabiliti jenayah terhadap tertuduh berkenaan dengan 32 keping cek dicap yang digunakan untuk pembayaran kad kredit.

Beliau berkata anak guamnya tidak meletakkan tanda tangan yang dicap pada semua 32 keping cek itu, malah tiada bukti bahawa cap itu ada di tangan tertuduh tetapi bukti yang jelas menunjukkan SP90 melakukannya.

"Kebersalahan itu pada SP90 kerana beliau secara cuai meletakkan cap pada cek. Walaupun ada keterangan bahawa tertuduh telah memberikan kebenaran (yang dibantah), keterangannya mengenai hal ini serta lainnya yang beliau berusaha untuk mengaitkan tertuduh tidak memberikan keyakinan.

"Ada sebab lain mengapa keterangan SP90 yang menyatakan bahawa tertuduh bersetuju untuk menggunakan 'cap' bagi tujuan cek tidak boleh dipercayai. Alasannya ialah pihak pendakwaan tidak mengemukakan sebarang kebenaran kepada bank untuk menjelaskan ceknya dengan tandatangan yang dicap dan bukannya ditulis tangan," katanya.

Ahmad Zahid, 68, menghadapi 47 tuduhan iaitu 12 melibatkan CBT, lapan pertuduhan rasuah dan 27 atas dakwaan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Bagi 12 tuduhan CBT, Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana itu untuk membuat pembayaran bil kad kredit peribadi, polisi insurans dan lesen kenderaan peribadinya, selain kiriman wang kepada firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 8:00 PM