Nelayan di Kuala Kedah tidak dapat menangkap ikan berikutan PKPD Kuala Kedah menyebabkan hasil tangkapan terpaksa disimpan dan tidak dapat dipasarkan. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Nelayan di Kuala Kedah tidak dapat menangkap ikan berikutan PKPD Kuala Kedah menyebabkan hasil tangkapan terpaksa disimpan dan tidak dapat dipasarkan. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Oleh Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Kira-kira 1,000 nelayan di Kuala Kedah tidak dapat keluar ke laut selain menghantar bekalan hasil tangkapan ikan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kuala Kedah yang dilaksanakan bermula semalam.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) Abdul Hamid Bahari berkata, pada hari pertama PKPD semalam ada kelonggaran sedikit namun hari ini semua tidak dibenarkan melakukan tugas mereka.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Kedah berkata, nelayan pantai dan laut mengalami kerugian besar apabila tidak dapat menjual hasil tangkapan mereka kira-kira 100 hingga 200 tan sehari.

"Selain itu, lori untuk mengambil ikan dan lori ais juga tidak dibenarkan masuk ke kawasan Kuala Kedah menyebabkan sebahagian besar nelayan di sini terpaksa menyimpan stok tangkapan mereka di dalam tong ikan.

"Jika keadaan ini berterusan, ia akan menyebabkan penghantaran ikan untuk pasaran ke beberapa negeri lain seperti Perak, Johor, Melaka, Selangor dan di negeri ini terjejas berikutan Kuala Kedah antara sumber terbesar ikan di negara ini, " katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdul Hamid berkata, setiap hari penghantaran ikan dilakukan membabitkan antara 100 hingga 200 tan yang kemudian diagihkan bergantung pada permintaan negeri berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya berharap pihak berkuasa dapat melonggarkan pergerakan nelayan dan keluar masuk pengangkutan untuk menghantar ikan bagi mengelak kerugian.

"Sekarang itu tangkapan ikan mula banyak berbanding sebelum ini kurang tangkapan disebabkan perubahan cuaca namun sekarang PKPD pula dilaksanakan, sukar untuk nelayan mencari hasil pendapatan.

"Kalau boleh, longgarkan sikit prosedur operasi standard (SOP) bagi memudahkan pergerakan penghantaran ikan dan tangkapan ikan oleh nelayan dilakukan," katanya

PKPD Kuala Kedah bermula sejak semalam sehingga 19 September ini membabitkan seluruh kawasan di mukim itu kecuali tiga kampung iaitu Kampung Teluk Talipon, Kampung Baru Bakar Kapur dan Kampung Padang Garam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir sebelum ini berkata, pemantauan ketat akan dilakukan di dua sekatan jalan raya (SJR) iaitu di Jalan Kuala Kedah dan Kubang Rotan termasuk kawalan di laut bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 berikutan PKPD di Kuala Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 5:23 PM