ANGGOTA KPDNHEP Perlis menjalankan pemeriksaan di sebuah farmasi di Perlis. FOTO ihsan KPDNHEP Perlis
ANGGOTA KPDNHEP Perlis menjalankan pemeriksaan di sebuah farmasi di Perlis. FOTO ihsan KPDNHEP Perlis
Aizat Sharif


Kangar: Sebanyak 13 farmasi di Perlis diberi tempoh sehingga 12 September ini untuk mematuhi harga runcit maksimum Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 (Ujian Sendiri) iaitu RM19.90.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis Norazah Jaapar berkata, pemeriksaan ke atas 17 farmasi di seluruh negeri pada hari pertama pelaksanaan harga maksimum barangan itu mendapati hanya empat farmasi saja yang mematuhinya.

Beliau berkata, 13 farmasi lain pula gagal berbuat demikian dengan menjual alatan berkenaan dengan harga antara RM30 hingga RM40.

"Namun mereka diberi tempoh seminggu sehingga 12 September ini untuk mematuhi harga runcit maksimum berkenaan.

"Kelonggaran diberi oleh kementerian bagi membolehkan peniaga menghabiskan stok sedia ada dalam premis perniagaan mereka," katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang didapati masih menjual barangan berkenaan melebihi harga maksimum yang ditetapkan.

"Tindakan akan diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 yang mana individu boleh dikenakan penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM100,000 atau kompaun sehingga RM50,000.

"Manakala, denda sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000 bagi syarikat yang didapati gagal mematuhi peraturan berkenaan," katanya.

Bermula Ahad lalu, KPDNHEP menguatkuasakan harga runcit maksimum Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 (Ujian Sendiri) sebanyak RM19.90 manakala RM16 bagi harga borong maksimum (seunit).

Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 (Ujian Sendiri) adalah kit ujian yang digunakan bagi pengesanan antigen Covid-19 menggunakan sampel bendalir mulut atau ujian 'swab' hidung.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 11:17 AM