Ahmad Hasbi

Seremban: Minatnya yang mendalam terhadap hobi mengumpul basikal tua menyebabkan seorang lelaki sanggup membelanjakan puluhan ribu ringgit untuk mendapatkan barang antik berkenaan.

Abdul Rahman SM Salleh, 56, yang mula mengumpul basikal tua sejak 20 tahun lalu mempunyai 13 basikal daripada pelbagai jenama dan tahun keluaran.

Katanya, dia mula meminati basikal tua selepas menonton rancangan Majalah 3 terbitan TV3 yang memaparkan aktiviti Kelab Basikal Tua Batu Berendam (KBTBB) di Melaka kira-kira 20 tahun lalu.

"Sejak daripada itu, saya mula jatuh cinta dengan basikal tua dan menyertai kelab berkenaan walaupun tinggal di Seremban kerana pada waktu itu di negeri ini belum ada persatuan seumpama itu.

"Jadi selepas menyertainya, saya mesti mempunyai sekurang-kurangnya sebuah basikal tua. Rakan dari persatuan itu kemudian memaklumkan mengenai individu yang mahu menjual basikal tua di Seremban.

"Itu basikal pertama saya, namun sayangnya ia sudah dijual pada seorang lelaki," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Desa Dahlia, Senawang, di sini.

Abdul Rahman berkata, sehingga kini dia menghabiskan kira-kira RM50,000 untuk mendapatkan 13 basikal selain membeli aksesori bersesuaian dan kos penyelenggaraan.

"Antara basikal yang saya miliki berjenama Elswick, Raleigh, Sunbeam, Philips, Birmingham Small Arms Company Limited (BSA), Royal Enfield dan Hopper buatan dari pelbagai negara.

"Basikal yang paling tua saya miliki adalah jenama Sunbeam dari negara Belanda yang dipercayai dikeluarkan pada awal tahun 1900. Saya membelinya daripada seorang pengumpul dari Perlis pada harga RM5,000," katanya.

Dia yang bekerja sebagai pemandu van berkata, selain KBTBB dia turut menyertai Kelab Basikal Tua Batu Kikir (KBTBB), Kelab Basikal Tua Seremban (KBTS) dan Gabungan Basikal Tua Malaysia (GBTM).

"Saya aktif dalam kelab basikal ini dan sering diundang untuk menyertai kayuhan di seluruh negara. Malah pernah diundang untuk menyertai kayuhan di Pekan Baru pada 2007 dan di Surabaya, Indonesia pada 2019.

"Ketika berkayuh, ramai yang mahu bergambar dengan saya kerana keunikan pakaian uniform ala anggota bomba yang dipakai. Saya menempahnya sendiri dan ia bukanlah uniform rasmi pasukan bomba," katanya.

Bapa kepada empat anak ini berkata, kebanyakan basikal tua sudah tidak dihasilkan lagi dan dengan adanya pengumpul sepertinya dapat mengekalkan barang berharga berkenaan.

"Ia sebagai tatapan generasi akan datang. Setiap basikal mempunyai sejarahnya tersendiri sama ada ia basikal yang digunakan ketika perang dunia atau basikal yang digunakan tentera Jepun ketika menjarah Tanah Melayu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 11:01 AM
ABDUL Rahman bersama koleksi basikal tua pelbagai jenama. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
ABDUL Rahman bersama koleksi basikal tua pelbagai jenama. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin