Zaid Salim

Kuala Terengganu: Bermula secara suka-suka, seorang lelaki tidak menyangka hobi membela ikan laga bagi mengisi kebosanan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bertukar menjadi punca pendapatan.

Ahmad Muazan Ramlee, 28, berkata dia bersyukur apabila perniagaan ikan laga yang dijalankan secara atas talian kini menjadi punca rezekinya.

Menurutnya, pelaksanaan PKP menyebabkan segala aktiviti luar terpaksa dihentikan sebelum memilih untuk menjalankan perniagaan ikan hiasan.

Katanya, bagi mengisi masa, dia membela dua pasang ikan laga spesis biasa yang dibeli dengan harga lebih RM50.

"Daripada sekadar hobi, kini saya jadikan ikan hiasan ini sebagai perniagaan selepas mendapati ia mampu menjana pendapatan.

"Sehingga kini saya memiliki ribuan ikan hiasan pelbagai spesis yang dibiak sendiri dianggarkan kesemuanya bernilai lebih RM15,000," katanya ketika ditemui di Kampung Pulau Sekati, di sini.

Ahmad Muazan menunjukkan ikan hiasan jenis  Avatar antara spesis berkualiti di rumah ikan miliknya di Kampung Pulau Sekati. FOTO ZAID SALIM
Ahmad Muazan menunjukkan ikan hiasan jenis Avatar antara spesis berkualiti di rumah ikan miliknya di Kampung Pulau Sekati. FOTO ZAID SALIM

Ahmad Muazan berkata, dia memulakan perniagaan itu pada Jun tahun lalu dan kini memiliki pelbagai spesis ikan laga antaranya Half Moon Palakat (HMPK), Avatar, Black Samurai, Super Red, Super Black dan Galaxy.

"Saya mempromosi jualan ikan laga ini menerusi media sosial dan setakat ini yang paling mahal pernah saya jual ialah spesis Avatar dengan harga RM200 seekor.

"Walaupun hasil jualan rendah, tetapi saya bersyukur apabila puas dapat melihat ikan-ikan ini yang pelbagai warna," katanya.

Menurutnya, dia mempelajari kaedah pembiakan ikan laga menerusi aplikasi Youtube selain perkongsian pengalaman dan nasihat daripada peminat ikan berkenaan.

Katanya, dia juga meletakkan daun pisang kering di dalam bekas pembiakan bagi mengawal suhu air selain daun berkenaan boleh menghasilkan infra suria iaitu makanan untuk anak ikan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 2:03 PM