SUASANA terkawal susulan semua pihak dilihat mematuhi SOP ditetapkan di Pasar Tani UTC Kuantan, semalam. Empat menteri akan berbincang penyesuaian SOP serta bentuk kelonggaran dalam negara menuju ke fasa endemik Covid-19. FOTO Bernama
SUASANA terkawal susulan semua pihak dilihat mematuhi SOP ditetapkan di Pasar Tani UTC Kuantan, semalam. Empat menteri akan berbincang penyesuaian SOP serta bentuk kelonggaran dalam negara menuju ke fasa endemik Covid-19. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perbincangan secara terperinci mengenai penyesuaian prosedur operasi standard (SOP) serta bentuk kelonggaran dalam negara menuju ke fasa endemik akan melibatkan tiga lagi menteri lain.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, menteri berkenaan ialah Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

"Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 2 September lalu bersetuju supaya saya selaku Menteri Kanan Pertahanan yang mengetuai Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut membabitkan tiga menteri ini.

"Sehubungan itu, saya akan memanggil ketiga-tiga menteri ini dalam masa terdekat untuk memulakan perbincangan secara terperinci dan membuat keputusan bersama tentang penyesuaian SOP serta bentuk kelonggaran seterusnya dalam menuju fasa endemik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hishammuddin berkata, seperti yang beliau nyatakan ketika sidang media pada 2 September lalu bahawa negara sedang menuju ke arah endemik dan beliau turut bersetuju dengan Khairy bahawa peralihan ke fasa endemik akan bermula pada hujung Oktober.

"Sebagai persediaan ke arah fasa berkenaan, kerajaan sedang meneliti kelonggaran-kelonggaran yang bersesuaian bagi membolehkan rakyat kembali menjalani kehidupan seharian lebih bebas dalam norma baharu dan dalam masa sama kerajaan tetap menitikberatkan soal melindungi nyawa serta kesihatan rakyat di samping memastikan pengukuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

"Kelonggaran ini termasuklah kemungkinan membenarkan rakyat melakukan perjalanan rentas negeri bagi tujuan lebih pelbagai serta membuka lebih banyak sektor. Bagi menetapkan kelonggaran berkenaan, banyak faktor perlu diambil kira kerana ia membabitkan kesihatan rakyat dan keselamatan negara," katanya.

Hishammuddin berkata, pada masa sama beliau juga mengarahkan MKN untuk terus mengemas kini SOP dan kelonggaran yang sudah dipersetujui bersama oleh kementerian-kementerian yang terbabit sebelum ini agar ia lebih mudah difahami.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 1:41 PM