GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Roji Kawi


Kuching: Kerajaan Sarawak sedang meneliti lokasi sesuai untuk pelaksanaan program vaksinasi golongan remaja berumur antara 12 hingga 18 tahun yang akan bermula Rabu ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, ketika ini belum dipastikan sama ada ia akan diadakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sedia ada atau di sekolah masing-masing.

Katanya, pakar juga sedang menilai kaedah paling berkesan untuk melaksanakan program berkenaan.

"Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dan Jabatan Pendidikan Negeri sedang meneliti perkara ini (keseluruhan proses vaksinasi remaja).

"Kami masih menunggu keputusan rasmi, namun kerajaan negeri sudah bersedia untuk memastikan infrastruktur lengkap bagi menjamin kelancaran program itu," katanya yang ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Inovasi serta Integriti Jabatan Tanah dan Survei Sarawak di sini, hari ini.

Ketika ditanya jenis vaksin yang akan diberi kepada golongan terbabit, Abang Johari berkata, beliau belum dimaklumkan mengenai perkara itu.

"Saya tak pasti, mungkin Pfizer. Tetapi saya serahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menentukannya," katanya.

Dianggarkan seramai 240,000 remaja berusia 12 hingga 18 tahun di Sarawak akan menerima vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 (PICK).

Sementara itu, JPBN Sarawak dijangka akan mengadakan mesyuarat akhir berhubung persediaan program vaksinasi itu, hari ini.

Sumber berkata, mesyuarat akan dilaksana secara maya menerusi aplikasi Zoom berikutan Pengerusi JPBN, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang bekerja dari rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 1:41 PM