Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


Alor Setar: Perintah Kawalan Pergerakan (PKPD) Kuala Kedah yang membabitkan mukim Kuala Kedah selama 14 hari bermula jam 12.01 tengah malam tadi.

Berikutan itu, polis akan melakukan pemantauan lebih ketat yang membabitkan jalan darat dan laut sepanjang tempoh dua minggu ini untuk mengelak penularan jangkitan Covid-19.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, PKPD Kuala Kedah akan lebih ketat berbanding PKPD Kota Setar yang pernah dilaksanakan sebelum ini.

Beliau berkata, sebarang aktiviti keluar masuk yang tiada keperluan tidak dibenarkan di kawasan berkenaan.

"Bagaimanapun, hanya tiga kampung di iaitu Kampung Telok Talipon, Kampung Baru Bakar Kapur dan Kampung Padang Garam di Kuala Kedah terkecuali daripada PKPD ini.

"Perlaksanaan PKPD Kuala Kedah ini bermula pada hari ini sehingga 19 September," katanya pada sidang media di Jalan Kuala Kedah, hari ini.

Ahmad Shukri berkata, setakat ini dua sekatan jalan raya didirikan iaitu di Jalan Kuala Kedah dan Kubang Rotan yang membabitkan laluan masuk dan keluar.

Beliau berkata, dalam pada itu, lapan jalan kekal ditutup membabitkan Jalan Kampung Baru sebelum titi pasar Kubang Rotan, persimpangan Jalan Kampung Layang Utara, persimpangan Jalan Kampung Padang (Jalan Kilang Baja), hadapan Maritim Jalan Kota Marina.

"Empat lagi jalan yang ditutup adalah Kampung Tepi Laut, Taman Bahtera, Lorong Mayat dan sebelah SJR Kubang Rotan.

Ahmad Shukri berkata, prosedur operasi standard (SOP) PKPD adalah berbeza dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 yang mana dalam PKPD ini, hanya seorang saja dibenarkan keluar untuk membeli makanan dan berurusan hanya di kawasan ini saja.

Dalam pada itu, aktiviti nelayan menangkap ikan di laut akan dibenarkan namun mereka yang memakai gelang pengawasan merah jambu tidak dibenarkan turun ke laut.

Beliau berkata, Pasukan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia akan membantu untuk kawalan di laut untuk memantau pergerakan di laut.

"Untuk SJR di darat pula, selain Polis Diraja Malaysia, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia akan membantu dalam penugasan kali ini yang membabitkan 56 anggota.

"Kita mempunyai pasukan pemantau yang membabitkan seramai 42 orang untuk menjalankan tugas pemeriksaan mengejut di laluan tikus atau sekitar kawasan PKPD ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 8:31 AM