GAMBAR hiasan. Pesawat TUDM. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. Pesawat TUDM. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan melaksanakan Eksesais Ababil 2021 di Pangkalan Udara Labuan dan Kota Belud mulai 7 hingga 17 Sept ini membabitkan ruang udara Borneo serta perairan sekitarnya.

TUDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan eksesais itu bertujuan menilai kecekapan juruterbang-juruterbang TUDM, anggota-anggota Pasukan Khas TUDM serta pasukan sokongan logistik dalam melaksanakan tanggungjawab bagi melindungi kedaulatan negara.

"Selain itu, eksesais ini bertujuan untuk menguji keupayaan peralatan persenjataan serta kesiagaan aset-aset TUDM bagi menjamin keberkesanan dalam pelaksanaan tugas operasi bersama melibatkan pesawat daripada pelbagai kategori seperti pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter.

"Sepanjang eksesais berlangsung, pesawat-pesawat TUDM akan melaksanakan penerbangan taktikal secara rendah di kawasan-kawasan tertentu yang digazetkan kawasan latihan," menurut kenyataan itu.

TUDM turut memaklumkan kepada orang ramai agar tidak cemas dan risau sekiranya melihat pesawat-pesawat TUDM terbang rendah sepanjang tempoh eksesais.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 4:24 PM