DATUK Seri Alexander Nanta Linggi dan Pengarah KPDNHEP Sarawak memeriksa harga kit ujian pantas antigen COVID-19 di Kuching, hari ini. FOTO Mohd Roji Kawi
DATUK Seri Alexander Nanta Linggi dan Pengarah KPDNHEP Sarawak memeriksa harga kit ujian pantas antigen COVID-19 di Kuching, hari ini. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi


Kuching: Pemborong dan peruncit kit ujian pantas antigen Covid-19 diberi tempoh seminggu mulai hari ini untuk penyesuaian harga alat itu mengikut kadar yang ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, harga siling alat berkenaan ditetapkan RM16 seunit di peringkat borong manakala harga runcit pula RM19.90 dan ia sudah diwartakan mulai hari ini.

Justeru katanya, penguatkuasa KPDNHEP akan membuat pemantauan rapi untuk memastikan pemborong dan peruncit mematuhi harga yang ditetapkan kerajaan itu.

"Sebelum harga siling itu dikuatkuasakan hari ini pun, pihak kami sudah membuat lebih 2,000 pemeriksaan terhadap kit ujian pantas antigen Covid-19 itu di seluruh negara.

"Penguatkuasa kami akan mengambil pendekatan memberi peringatan kepada pemborong dan peruncit berhubung penetapan harga itu dalam tempoh seminggu ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pemeriksaan harga maksimum kit ujian pantas antigen Covid-19 itu di sebuah farmasi di The Spring Shopping Mall, di sini, hari ini.

Beliau berkata, selepas tempoh seminggu, pihaknya akan menguatkuasakan undang-undang mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Individu yang didapati menjual alat itu melebihi harga maksimum boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali atau kompaun sehingga RM50,000.

Syarikat yang melakukan kesalahan itu pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000.

Menurutnya lagi, pemantauan juga akan dilakukan ke kedai di kawasan pedalaman berikutan pengumuman Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bahawa alat berkenaan boleh dijual di kedai selain farmasi.

"Berikutan pengumuman Menteri Kesihatan itu, bermakna kit ujian pantas antigen Covid-19 itu juga akan dijual di kedai biasa termasuk kedai di kawasan pedalaman dengan syarat ketat kerana alat perubatan tidak boleh dijual sebarang.

"Justeru, anggota penguatkuasa KPDNHEP juga akan membuat pemantauan di kawasan pedalaman bagi memastikan harga yang ditetapkan kerajaan itu dipatuhi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 2:09 PM