GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Satu lokaliti masing-masing di Sabah dan Kedah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 6 hingga 19 September ini.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md Saad berkata, lokaliti itu ialah Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kota Kinabalu dan dua zon dalam Mukim Kuala Kedah, Kota Setar.

Katanya, PKPD di lokaliti Penjara Tapah Batang Padang, Perak yang dijadualkan tamat pada 5 September dilanjutkan lagi sehingga 19 September.

"Pelanjutan itu dibuat selepas meneliti analisa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan Covid-19," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mohd Rodzi berkata, tujuh lokaliti di Kota Kinabalu ditamatkan pada 5 September lebih awal daripada yang dijadualkan.

"Lokaliti itu ialah Kampung Padas yang dijadualkan tamat pada 6 September.

"Enam lagi lokaliti yang sepatutnya dijadualkan tamat pada 7 September, namun diawalkan ialah Kampung Cenderamata 2 dan Kampung Cempaka, Kampung Inanam Laut, Kampung Bambangan, Kampung Kelingau, Kampung Lapasan dan Taman Kuala Menggatal.

"Selain itu, tiga lokaliti di Kelantan ialah Kampung Telaga Bata, Kampung Kajang Sebidang dan Kampung Bunut Sarang Burung juga ditamatkan lebih awal sehari daripada dijadualkan pada 6 September," katanya.

Katanya, di Tawau PKPD lokaliti yang dijadualkan tamat pada 5 September ialah Taman Semarak Indah, Taman Thien Vun, Taman Victoria, Taman King Fook dan Kampung Batu 4.

"Turut ditamatkan mengikut jadual ialah Kampung Tanjung Kapor, Kudat serta dua lokaliti di Beluran iaitu Kampung Sulit Paitan dan Kampung Matanggal Lama selain PPR Taman Mesra, Sandakan.

"Di Pahang lokaliti yang ditamatkan ialah Kampung Telemin, Mukim Gua, Lipis, Kampung Orang Asli Sungai Bot, Benton serta Penjara Pokok Sena, Kota Setar, Kedah.

"Selain itu, lokaliti di Perak yang ditamatkan ialah Pelantar Sungai Pinang Kecil, Pulau Pangkor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 9:21 PM