KUALA LUMPUR 02 SEPTEMBER 2021. Beberapa botol cecair vaksin Sinovac ketika tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. NSTP/AIZUDDIN SAAD
KUALA LUMPUR 02 SEPTEMBER 2021. Beberapa botol cecair vaksin Sinovac ketika tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. NSTP/AIZUDDIN SAAD
Zaid Salim


Kuala Terengganu: Kadar vaksinasi negeri ini yang masih rendah berbanding pantai barat bukan kerana disebabkan masyarakat negeri ini antivaksin.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, terdapat beberapa faktor lain yang mempengaruhi perkara itu termasuk penggunaan telefon pintar dan aplikasi MySejahtera.

Bagaimanapun, Ahmad Amzad berkata, Terengganu kini berada di landasan tepat untuk mencapai 80 peratus imuniti kelompok menjelang awal bulan depan seperti sasaran awal.

Beliau berkata, ia susulan penghantaran lebih banyak bekalan vaksin Covid-19 di samping inisiatif vaksinasi secara walk-in di semua 14 pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negeri ini bermula esok.

"Sejumlah 590,000 dos vaksin sudah dihantar ke negeri ini bulan lalu, manakala 560,000 dos lagi dihantar pada bulan ini.

"Bekalan vaksin Covid-19 yang diterima bulan ini mampu menampung jumlah individu dewasa yang hadir ke PPV secara walk-in sekali gus mencapai sasaran imuniti berkelompok yang disasarkan awal bulan depan," katanya ketika ditemui selepas menghantar bantuan air mentah kepada penduduk di Taman Wakaf Baru, Gong Badak, di sini, hari ini.

Ahmad Amzad berkata, sehingga akhir Ogos lalu, sebanyak 50.8 peratus penduduk negeri ini sudah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19.

Ahmad Amzad berkata, selain Terengganu, lebih banyak lagi bekalan vaksin Covid-19 akan diagihkan ke negeri yang sebelum ini dikategorikan sebagai kurang berisiko penularan virus termasuk Kedah, Kelantan dan Johor.

Katanya, pertambahan bekalan itu susulan penutupan banyak PPV di Lembah Klang sekali gus membolehkan sasaran 80 peratus imuniti kelompok diperluaskan ke negeri lain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 8:58 PM