ABDUL Rahman bersama ibu bapa menerusi sidang maya Bengkel Kemahiran Keibubapaan peringkat daerah Lipis. FOTO Roselan Ab Malek
ABDUL Rahman bersama ibu bapa menerusi sidang maya Bengkel Kemahiran Keibubapaan peringkat daerah Lipis. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek


Lipis: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan menerapkan konsep Keluarga Malaysia bagi membina semangat pemuafakatan dan kebersamaan dalam kalangan ahli keluarga.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan diberi tanggungjawab untuk melengkapkan pengetahuan dan kemahiran kepada ibu bapa mengenai konsep itu menerusi program sosial dan pendidikan.

"Walaupun program kemahiran keibubapaan dan kekeluargaan kerap dianjurkan oleh Kemas dengan kerjasama agensi lain, tetapi kita akan mengemaskinikan serta menambahbaik kemahiran serta pengetahuan berasaskan konsep Keluarga Malaysia.

"Konsep Keluarga Malaysia yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sangat penting bukan sahaja diterapkan dalam urusan pentadbiran dan kepimpinan kerajaan, malah idea yang sama wajar bermula di rumah.

"Hal ini amat tepat ketika kita sedang berdepan pandemik Covid-19 dan bakal beralih fasa endemik tidak lama lagi sekali gus terpaksa mengubah kelaziman berfikir dan norma kehidupan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bengkel Kemahiran Keibubapaan peringkat daerah menerusi Google Meet di Pejabat Parlimen Lipis, di sini, hari ini.

Program itu disertai 130 individu terdiri ibu bapa, penjaga kanak-kanak Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) anjuran Kemas Lipis.

Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis berkata, selain cabaran pendidikan, pihaknya juga memahami masalah capaian internet di luar bandar yang perlu diatasi segera bagi keselesaan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Kementerian ini akan bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan semua pihak berkaitan bagi menyegerakan penyelesaian masalah akses internet di kawasan kampung dan pedalaman seluruh negara.

"Capaian internet adalah keperluan penting dalam era teknologi maklumat dan komunikasi, lebih lagi sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memudahkan pelajar mengikut sesi PPdR," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 6:10 PM