ANGGOTA BBP Guar Chempedak melakukan pemantauan di sungai Kampung Baru, Gurun yang mengalir dari kaki Gunung Jerai. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ANGGOTA BBP Guar Chempedak melakukan pemantauan di sungai Kampung Baru, Gurun yang mengalir dari kaki Gunung Jerai. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Yan: Penduduk di sekitar Kampung Titi Hayun dan Seri Perigi kini trauma setiap kali hujan lebat menyebabkan mereka mengambil langkah berjaga-jaga kerana bimbang tragedi kepala air berulang Penduduk Kampung Seri Perigi, Saifullah Kamarudin, 34, berkata, rumahnya terletak paling hampir dengan kawasan bukit itu dan bimbang berlaku insiden tanah runtuh atau kepala air sekiranya hujan lebat.

Katanya, kejadian kepala air berlaku sekali lagi di kawasan Titi Hayun semalam menyebabkan mereka yang tinggal di Kampung Seri Perigi mengambil langkah berjaga-jaga.

"Kejadian semalam tak seburuk yang berlaku pada 18 Ogos lalu namun takut dan trauma juga. Saya lihat sendiri depan mata kepala air berwarna merah pada kejadian jam 4.30 petang itu," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, setakat ini anggotanya dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak melakukan pemantauan di kawasan berisiko dinaiki air di sekitar Titi Hayun dan kaki Gunung Jerai serta Gurun sekiranya hujan lebat.

Katanya, pemantauan akan dilakukan setiap empat jam sekiranya hujan lebat di situ.

"Sekiranya tidak hujan, pemantauan turut dilakukan namun bergantung pada keadaan cuaca," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan tidak mengunjungi lokasi berisiko kepala air di negeri ini.

Katanya, pihaknya sudah mengenal pasti lebih 18 lokasi berlaku kepala air di negeri termasuk Titi Hayun, Seri Perigi, Gunung Jerai, kawasan air terjun di Junjung di Kulim, Pusat Rekreasi Tupah di Merbok Sungai Petani, Air Terjun Batu Hampar di Yan, Air Terjun Temurun, Jalan Datai di Langkawi, Hutan Lipur Lubuk Semilang di Langkawi.

Selain itu, Hutan Lipur Puncak Janing di Kuala Nerang, Air Terjun Telaga Tujuh di Langkawi, Sungai Kuala Sedim di Kulim, Air Terjun Ulu Paip di Kulim, Air Terjun Bukit Hijau di Baling, Air Terjun Lata Bayu di Baling, Air Terjun Lata Mengkuang di Sik, Perangin di Sik, Tasik Beris di Sik, Sungai Kulim, Lata Celak Iboi di Baling.

Dua lagi lokasi tumpuan ramai iaitu di Sungai Ketil di Baling dan Sungai Empangan Pedu di Kuala Nerang.

Tegasnya, kesemua lokasi itu tidak selamat dikunjungi ketika perubahan cuaca termasuk hujan lebat berlaku.

Semalam, fenomena kepala air berlaku sekali lagi di kawasan Titi Hayun berikutan hujan lebat pada sebelah pagi menyebabkan arus deras dan air melimpah di atas jalan.

Bagaimanapun, kejadian yang berlaku sekitar jam 11 pagi itu tidak seteruk insiden pada 18 Ogos lalu sehingga mengakibatkan enam mangsa terkorban dan seorang cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 4:15 PM