MUHAMMAD Sanusi Md Nor melihat buah dokong yang akan dihantar dan dipasarkan ke Lembah Klang di Kampung Padang Pulut, di sini, hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
MUHAMMAD Sanusi Md Nor melihat buah dokong yang akan dihantar dan dipasarkan ke Lembah Klang di Kampung Padang Pulut, di sini, hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Sik: Penduduk sekitar kaki Gunung Jerai diminta berhati-hati kemungkinan fenomena kepala air berulang di kawasan terbabit berikutan cuaca hujan lebat ketika ini.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, hujan lebat di puncak gunung dan kawasan sekitar boleh menyebabkan limpahan di puncak dan airnya turun ke kawasan sungai di bawah.

"Saya ada melihat video tular berlaku limpahan air di Yan, hari ini disebabkan di puncak gunung menakung air hujan yang banyak.

"Kejadian kepala air pada 18 Ogos lalu menyebabkan dasar sungai menjadi lebih cetek, jadi air turun dari puncak melimpah sedikit ke kawasan sekitar," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pengaturan Pasaran Buah-Buahan Tempatan ke Lembah Klang, di sini, hari ini.

Hari ini, tular video berdurasi 30 saat mengenai limpahan air berlaku di jalan ke Pusat Rekreasi Titi Hayun akibat fenomena kepala air.

Sanusi berkata, penduduk sekitar Yan diminta sentiasa menjaga keselamatan serta kerap mengikuti perkembangan ramalan cuaca.

Beliau berkata, penduduk perlu mengikut arahan pihak berkuasa sekiranya terdapat amaran hujan lebat dan banjir.

"Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Sarawak dijangka mengalami hujan lebat sehari dua ini, jadi berhati-hatilah.

"Saya faham penduduk masih trauma dengan kejadian fenomena kepala air, dua minggu lalu.

"Kita ada pasukan keselamatan yang bersiap sedia di sana, jadi penduduk diminta sentiasa berjaga-jaga," katanya.

Pada 18 Ogos lalu, enam mangsa terkorban dalam kejadian banjir susulan tragedi kepala air dari Gunung Jerai dengan banjir lumpur turut menjejaskan 800 rumah di Yan dan 200 rumah di Kuala Muda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 6:06 PM