GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebanyak 65.1 peratus atau 15,241,655 individu daripada populasi dewasa di negara ini sudah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

JKJAV menerusi perkongsian infografik di laman Twitter rasminya hari ini memaklumkan, sebanyak 85.1 peratus atau 19,932,137 individu sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) setakat semalam sebanyak 35,150,474 dos.

Menurut JKJAV, 61 peratus daripada jumlah populasi keseluruhan negara mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 manakala 46.7 peratus melengkapkan vaksinasi.

Sementara itu, vaksinasi harian semalam merekodkan sebanyak 398,134 dos dengan 188,780 daripadanya adalah dos pertama daripada vaksin dua dos manakala 209,354 adalah dos lengkap.

PICK dilancarkan pada 24 Februari lalu bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 10:20 AM