Ahmad Hasbi

Seremban: Gara-gara membuat kecoh dan bergaduh di malam ambang Merdeka, lima lelaki berusia 19 hingga 28 tahun ditahan polis di sekitar daerah ini.

Ia susulan tular empat video kejadian memaparkan berlaku pergaduhan dan orang ramai berkumpul di jalan raya di Bandar Seremban Selatan di sini, tengah malam semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, berdasarkan video berkenaan, pihaknya segera menjalankan siasatan terhadap punca kejadian.

"Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban dan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan berjaya mengesan dan menahan suspek di sekitar daerah Seremban membabitkan lima lelaki berumur 19 hingga 28 tahun," katanya tadi.

ANTARA tangkap layar video tular yang menunjukkan kekecohan berlaku di sebuah jalan di Bandar Seremban Selatan, Seremban, pada malam ambang Merdeka, 30 Ogos lalu.
ANTARA tangkap layar video tular yang menunjukkan kekecohan berlaku di sebuah jalan di Bandar Seremban Selatan, Seremban, pada malam ambang Merdeka, 30 Ogos lalu.

Beliau berkata, kenderaan digunakan dalam video berkenaan ditahan mengikut Seksyen 60(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi tujuan pemeriksaan lanjut.

"Manakala semua suspek ditahan disiasat mengikut Seksyen 48(1) APJ 1987 kerana kesalahan membuat halangan menggunakan kenderaan di jalan raya.

"Suspek juga akan dikompaun atas kesalahan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Plan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2," katanya.

Menurutnya, siasatan turut dilakukan bagi mengenalpasti sekiranya berlaku pembabitan jenayah oleh semua suspek.

"Kami mengingatkan dan menasihati semua pihak supaya sentiasa mematuhi SOP PPN ditetapkan dan mematuhi peraturan jalanraya untuk keselamatan bersama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 7:22 PM