VIDEO suasana sambutan ambang merdeka sebelum ini yang viral di media sosial kononnya ada sambutan ambang merdeka di drawbridge malam tadi. FOTO Zaid Salim
VIDEO suasana sambutan ambang merdeka sebelum ini yang viral di media sosial kononnya ada sambutan ambang merdeka di drawbridge malam tadi. FOTO Zaid Salim
Zaid Salim


Kuala Terengganu: Polis menafikan video dan gambar kemeriahan sambutan ambang merdeka di Jambatan Angkat berlaku malam tadi.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa, berkata sebaliknya gambar dan video yang ditularkan pihak tidak bertanggungjawab itu adalah kejadian tahun lalu.

"Video berdurasi 20 saat itu menunjukkan kesesakan lalu lintas dan kehadiran orang ramai di kawasan Jambatan Angkat seolah-olah ada pesta sambutan ambang merdeka di negeri ini.

"Sebaliknya ia adalah rakaman program kemerdekaan termasuk ceramah Ustaz Somad (Program Himpunan Dare Ummah Nusantara) pada Februari tahun lalu," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Katanya, pihaknya tidak menafikan berlaku sedikit kesesakan lalu lintas di lokasi berkenaan tetapi ia disebabkan penutupan jalan di kawasan Pantai Batu Buruk yang menyebabkan kenderaan yang melalui kawasan berkenaan terpaksa berpatah balik menuju ke arah Jambatan Angkat.

"Tiada sambutan ambang merdeka malam tadi dan suasana di sekitar kawasan jambatan itu terkawal selepas jam 10.30 malam," katanya.

Beliau menegaskan perbuatan menyebar maklumat yang tidak benar sama ada menerusi media sosial atau apa cara sekalipun adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.

Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Tinjauan Harian Metro yang menyertai operasi ambang merdeka malam tadi mendapati tiada aktiviti berkumpulan atau orang ramai yang hadir di kawasan berkenaan sebagaimana sambutan pada tahun sebelum ini.

Malah, sebelum itu hanya aktiviti berbasikal sahaja dan aktiviti adalah rutin setiap malam di kawasan berkenaan sebelum jam 10 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 7:05 PM