FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Kuantan: Gara-gara menggunakan dua keping wang palsu RM100 untuk membeli nasi dan rokok, seorang penganggur dipenjara 18 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan.

Hakim Siti Aminah Ghazali memerintahkan hukuman penjara terhadap Muhamad Fizwan Norruhadi, 34, bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu 23 Ogos lalu.

Tertuduh yang beralamat di Sungai Isap 3 di sini, didakwa menggunakan wang palsu RM100 sebagai tulen untuk membeli nasi bungkus berharga RM5 di sebuah gerai makan di Beserah di sini pada 9.30 pagi 21 Ogos lalu.

Dia juga didakwa menggunakan sekeping lagi wang palsu itu pada 3.18 petang hari yang sama di sebuah kedai serbaneka di Indera Mahkota di sini, untuk membayar sebungkus rokok bernilai RM12.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syarifah Nursyuhada Tuan Mamat mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan menjaga bapanya yang berusia 64 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 2:24 PM