PETUGAS kesihatan menunjukkan picagari yang mengandungi vaksin Prizer-BioNTech. FOTO Mikail Ong
PETUGAS kesihatan menunjukkan picagari yang mengandungi vaksin Prizer-BioNTech. FOTO Mikail Ong
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kes serius jangkitan Covid-19 kategori tiga, empat dan lima berkurang dalam kalangan individu yang lengkap divaksinasi.

Pakar Perubatan Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, 'berita baik' itu adalah kesan daripada program vaksinasi negara untuk mencapai imuniti kelompok.

"Apabila kita divaksin, walaupun penyakit Covid-19 masih ada, tetapi komplikasi yang diterima kurang teruk.

"Inilah tujuan asal vaksin iaitu mengurangkan komplikasi serta kemasukan ke wad.

"Walaupun negara mencatatkan kes harian sekitar 23,000 sehari tetapi kebanyakan membabitkan kategori satu dan dua, bermaksud mereka okay dan kita tidak perlu risau, yang perlu kita risau pesakit kategori empat dan lima ini yang boleh menyebabkan kematian," katanya kepada Harian Metro.

Dr Sharifa Ezat berkata, kebanyakan pesakit kategori satu dan dua ini diibaratkan seperti terkena batuk dan selsema biasa.

"Ini adalah fungsi vaksin supaya kurang kena kategori empat dan lima serta tiada jumlah kematian," katanya.

Menurutnya, beban varian Delta di Malaysia juga dianggap masih tidak besar seperti negara luar lain.

"Kalau ikut cakap DG (Ketua Pengarah Kesihatan), beban varian Delta ini masih tidak besar di Malaysia.

"Tidak seperti negara lain iaitu Jepun, China dan Amerika Syarikat, walaupun rakyat mereka sudah ramai divaksin, namun mereka masih terkena gelombang lain.

"Contoh Israel, mereka kena gelombang baru sebab varian Delta ini mengganas, malah Israel juga sudah melakukan suntikan 'booster' untuk mengelak gelombang lebih teruk," katanya.

Menurutnya, beberapa negeri di Malaysia masih mencatatkan peratusan yang rendah dalam vaksinasi iaitu tidak sampai 50 peratus mendapat vaksin lengkap antaranya Johor, Negeri Sembilan dan beberapa negeri lain.

Sementara itu, Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Am, Dr Hanafiah Bashirun berkata, vaksinasi melindungi diri orang ramai supaya mengurangkan komplikasi akibat jangkitan Covid-19.

Katanya, mereka yang sudah mendapat vaksin lengkap dijangkiti Covid-19, risiko komplikasinya lebih rendah berbanding mereka tidak divaksin.

"Tidak kisah orang vaksin atau tidak, masih boleh melakukan aktiviti biasa, cuma apa yang dirisaukan ialah risiko komplikasi terletak kepada individu yang enggan divaksinasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 4:08 PM