ANTARA pekerja dalam sektor peruncitan yang hadir untuk menerima suntikan vaksin Covid-19. FOTO Danial Saad
ANTARA pekerja dalam sektor peruncitan yang hadir untuk menerima suntikan vaksin Covid-19. FOTO Danial Saad
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Sebanyak 61.9 peratus atau 14,487,972 individu daripada populasi dewasa di seluruh negara lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19, setakat semalam.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menerusi perkongsian infografik di Facebook, penerima satu dos pula seramai 19,236,772 orang atau 82.2 peratus.

Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah sebanyak 33,724,744 dos.

Labuan terus merekodkan jumlah pemberian dos vaksin tertinggi dengan 93.2 peratus atau 63,830 individu dewasa sudah melengkapkan vaksinasi mereka.

Ia diikuti Lembah Klang dengan 89.5 peratus iaitu 5,518,094 orang manakala Sarawak 1,769,107 (86.6 peratus), Negeri Sembilan 627,900 (77.1 peratus), Perlis 118,093 (65.2 peratus), Melaka 383,714 (56.6 peratus) dan Pulau Pinang 738,414 (54.0 peratus).

Pahang pula merekodkan 588,812 orang lengkap vaksinasi iaitu 50.1 peratus daripada populasi dewasa, Perak 866,311 (46.5 peratus), Terengganu 373,378 (46.2 peratus), Johor 1,218,066 (44.9 peratus), Kedah 665,521 (43.2 peratus) dan Kelantan 532,284 (43.1 peratus).

Sabah kekal negeri paling rendah menerima suntikan vaksin iaitu hanya 37.1 peratus daripada populasi dewasa membabitkan 1,024,448 orang.

Sementara itu, jumlah pemberian vaksinasi harian semalam adalah sebanyak 336,642 dos membabitkan 146,632 dos pertama dan 190,010 dos kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 2:32 PM