FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Omar Ahmad


Kota Tinggi: Datuk Seri Dr Adham Baba menyambut baik cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) fokus kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) menghasilkan vaksin Covid-19.

Adham yang dilantik menerajui Mosti berkata, fokus bagi penghasilan vaksin pertama negara pada ketika ini dilihat amat penting.

Katanya, beliau yakin negara memiliki saintis yang boleh digembleng dalam menghasilkan inovasi pembuatan vaksin.

"Jadi fokus kita, bangunkan vaksin untuk cegah Covid-19 dalam negara. Itu perkara pertama akan bincangkan Isnin ini.

"Pada Isnin ini juga, saya bersama pasukan saya di Mosti akan melawat kilang fill and finish (aktiviti perkilangan isi dan selesai) vaksin CanSino di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil .

"Usaha ini salah satu tanda awal bahawa kita boleh hasilkan vaksin dengan mewujudkan kilang fill and finish yang mana pada peringkat akhir kita perlukan pembotolan vaksin," katanya selepas hadir program penyerahan pelitup muka kepada penduduk Taman Kota Jaya di sini, hari ini.

Adham berkata, vaksin CanSino yang dihasilkan di kilang isi dan selesai itu adalah vaksin satu dos yang perlu dipertimbangkan untuk negara hasilkan sendiri.

"Saya ulangi kita memiliki keupayaan kita akan buat bilateral arrangement (urusan dua hala) dengan negara lain yang sudah berjaya hasilkan vaksin sebelum ini di bawah Mosti.

"Hubungan (bilateral) itu membabitkan banyak negara yang menghasilkan vaksin seperti China, India, (malah) Thailand sendiri cuba hasilkan vaksin.

"Saya bercakap dengan pakar saintis yang minat hasilkan vaksin, beberapa negara yang saya sebut ini akan dijadikan rujukan untuk kita mulakan tindakan awal," katanya.

Mosti sebelum ini mengendalikan secara bersama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkaitan Vaksin Covid-19.

Bagaimanapun Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan, tugas Mosti kini ke arah pembangunan dan penghasilan Vaksin Covid-19, manakala Kementerian Kesihatan menumpukan program berkaitan vaksinasi dan strategi kesihatan berkaitan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 7:57 PM